Sing A Song

Monday, March 5, 2012

Sabar itu INDAH


Baru-baru ini saya bertemu seorang rakan baru. Kata orang 'tak kenal maka taaruflah'.

Ya, serba sedikit saya mengetahui tentang dirinya dalam taaruf. Kami juga sempat berkongsi berbagai cerita. Sampai kepada satu topik, rupanya pengalaman kami hampir sama.

 Sekarang saya bekerja sebagai Pembantu Guru Tadika di sebuah sekolah kerajaan berhampiran rumah saya. Sekolah itu juga merupakan tempat di mana saya menimba ilmu sewaktu di alam darjah dahulu.

Teman baru ini pula baru sahaja menamatkan pengajiannya dan sekarang bekerja sementara  sebagai guru sekolah agama, juga berhampiran rumahnya.

Apa yang saya hendak kongsikan di sini bukanlah berkenaan teman baru ini, tetapi berkenaan sifat sabar. Kata orang, sabar itu indah.

"Bila cikgu tinggalkan saya bersama pelajar dan saya perlu mengawal mereka, saya tak tahu nak marah budak-budak itu untuk suruh mereka diam. Bila saya marah, lagi mereka gelak.  Saya pun biar saja mereka buat bising sikit-sikit. Tiba-tiba cikgu datang dengan suara menyinganya terus tengking budak-budak tu. Kadang-kadang saya rasa sebenarnya cikgu bukan marah sangat dekat budak-budak tu sebab mereka bising, tapi cikgu tu marah pada saya sebab saya tak pandai nak handle budak-budak tu," cerita saya.

"Ya, betul tu. Akak pun rasa perkara yang sama. Akak selalu kena marah dengan guru-guru senior sekolah tempat akak mengajar sebab mereka kata akak tak tegas dengan pelajar. Dalam kelas akak mengajar ada seorang anak cikgu yang paling senior dan paling garang dekat sekolah tu. Satu hari waktu akak sedang mengajar tiba-tiba budak tu ketawa. Akak pun pelik apa yang diketawakan. Akak biar sajalah dia ketawa. Memang sifat seorang kanak-kanak, hidupnya penuh keriangan. Tiba-tiba cikgu senior, merangkap mak kepada pelajar akak tu, masuk ke kelas dan terus marah pada anaknya tanpa menghiraukan akak yang sedang mengajar di hadapan kelas. Katanya,

"Adik! Datang sekolah nak belajar atau nak main?",

Dia terus berlalu dengan muka yang masih menyinga. Hari lainnya, akak mengajar seperti biasa. Sewaktu mengajar, pelajar akak tu buat bising dan bermain-main lagi. Akak katakan padanya,

"Diamlah. Nanti mak kamu datang marah lagi sebab kamu main-main."

Tiba-tiba seorang pelajar akak yang lain menyampuk,

"Ustazah, sebenarnya hari tu mak dia bukan marah pada dia tapi marah pada ustazah."

Akak jadi terkesima." cerita teman saya panjang lebar.

Saya terbayang-bayang bagaimana cara cikgu tadika tempat saya bekerja. Garangnya bukan main. Sekali marah ibaratnya seperti 'TIADA MAAF BAGIMU'.

Perkara ini buat saya berfikir panjang. Perlukah seorang cikgu itu punyai sifat garang? Kesalahan kecil pelajar harus dihukum? Dengan cara menampar, piat telinga, pukul, sepak? Harus begitukah seorang PENDIDIK? Adakah mereka berbuat sebegitu juga kepada anak kandung mereka? Tidakkah mereka merasakan pelajar-pelajar itu seperti anak mereka sendiri?

Garang dan baran itu sifat orang yang tidak punya rasa sabar. Sebagai seorang pendidik, tidak seharusnya punyai sifat sebegiru. Cukup menjadi seorang yang tegas. Sekali lagi, seorang yang TEGAS! Itu dua perkataan yang berbeza dan punya maksud juga yang berbeza.

Bayangkan bila seorang anak kecil yang baru hendak belajar, tiba-tiba kesalahan kecilnya dibesar-besarkan. Apa rasa hatinya?

Saya ada membaca berkenaan kesan psikologi terhadap seorang anak yang membesar dalam suasana yang sering dimarahi. Anak itu akan terikut-ikut dengan sikap marah tersebut dan menjadikannya suka bertengkar, bergaduh, dan menjadi pasif. Antara lainnya, anak itu tidak mempunyai keyakinan diri dan sering mengalah sebelum mencuba.

Saya teringat cerita ibu berkenaan seorang nenek saudara saya. Pada saya kesabarannya pada anak-anak amat mengagumkan.

"Tok chik kalau dengan anak-anak, bila dia marah dia akan menurunkan nada suaranya. Ibu pernah tengok tok chik marah pada anak dia. Lagi dia marah lagi dia rendahkan suaranya sampai jadi bisik yang macam dah tak keluar suara," cerita ibu sambil mengajuk cara nenek saudara saya itu.
 
Saya jadi teringat kata-kata ibu bila saya marah pada adik-adik. Kata ibu,

"Nadia lupa yang adik nadia tu baru 6 tahun. Belum cukup akal,"

Kata-kata tu selalu buat saya beringat bila tiba-tiba saya rasa nak marah pada adik-adik.

Kalau dahulu saya cukup pantang bila barang dan hadiah-hadiah pemberian kawan-kawan saya  diusik dan dibuat mainan oleh adik-adik. Tapi sekarang saya cuba buat-buat tak tahu. Salah satu alasannya, kerana saya fikir barang tu kalau disimpan pun tak bawa ke mana. Bukan tidak menghargai pemberian orang, tetapi saya lebih menghargai pemberian Allah SWT pada saya berupa adik-adik yang lincah. Kalau bukan mereka yang mengusik barang saya, siapa lagi yang hendak menamatkan riwayat barang-barang tersebut ^^

Tapi kadang-kadang saya gagal juga mengawal marah pada adik-adik. Tapi lepas tu saya rasa sedih dan kasihan pada adik kerana telah dimarahi oleh saya :(

Harapannya lepas ini saya akan jadi orang yang lebih bersabar :)