Sing A Song

Sunday, May 26, 2013

Along






Aku memandang di satu sudut ruang tamu, rak buku yang telah dikosongkan, dengan buku-buku yang disumbat dalam beberapa buah kotak yang disusun bertindih. Di satu sisi lain, mesin jahit dengan benang berselirat, yang disusun berderetan. Di sebelahnya, meja komputer yang masih belum sempat dikemas, berselerak dengan pelbagai barang lain di atasnya; bakul VCD yang separuh penuh, spray serai wangi yang sering kugunakan untuk membersihkan ruangan dapur, topi keledar, dan kotak-kotak kecil peralatan komputer.

            Aku memandang siling, pada kipas yang ligat berputar, dan pada dinding-dinding rumah bercat biru yang comot dan penuh dengan tampalan akibat rekahan. Pandanganku melirik jatuh ke bahagian bawah, di lantai mozek putih yang hampir kosong tanpa perabot, dan pada sekujur tubuh kecil berbulu yang sedang nyenyak tidur. Tau, kucing jantan peliharaan yang selalu membuatku geram pada tubuhnya yang montel dan pada bulu-bulunya yang kembang.

            Aku memandangnya lama. Sayu. Selepas ini aku tidak lagi berpeluang melihatnya membesar menjadi bapa pada anak-anaknya yang comel. Aku bakal meninggalkannya pada nostalgia pahit manis di rumah yang telah banyak menggarap kisah suka duka dalam diari hidupku.

Di sini, di kampung ini, tempat aku membesar. Menjadi kanak-kanak yang riang. Bersama teman-teman dan adik-adik, merayau ke segenap penjuru kampung. Memancing ikan-ikan kecil di kolam di balik belukar, atau di longkang-longkang berkedalaman separuh pinggang. Memanjat pokok ciku belakang rumah, tempat kesukaan jin-jin bertandang, kata ibu. Mengejar monyet-monyet di hutan dengan lontaran batu, dan terkadang berpakat mengurung monyet yang masuk ke dalam rumah mencuri makanan.

Ada ketika lainnya, kenakalan yang tak dapat dibendung membawa kami ke bilik belakang, tempat di mana kakiku sering disapa biratan getah paip kecil yang keras,namun tak pernah membuatku serik. Ada ketikanya juga, kami diburu ibu sehingga ke dalam hutan dengan sebatang rotan sebesar saiz lilitan ibu jari orang dewasa. Namun, itu tidak sekali-kali membuatku, bahkan adik-adik juga, merasa serik.

Suatu ketika lain, kami akan berpakat untuk menyeludup keluar rumah. Dua orang ini yang sering diawasi, sudah tentunya ibu, dan yang kedua ialah abang. Kami akan lakukan apa sahaja untuk mengalih tumpuan mereka, dan akhirnya menyusup keluar rumah secara senyap-senyap. Dan malamnya, tapak kaki kecil ini sekali lagi menerima biratan refleksologi yang menginsafkan diri yang cuma seketika. Tetapi, kesakitan itu tidaklah terlalu teruk jika dibandingkan kepuasan dan keseronokan yang dikecapi selama seharian menjelajah ke ‘semak belantara’ sambil bermandi riang di tali air hujung kampung.

Kisah zaman kanak-kanakku. Yang telah berlalu lebih sepuluh tahun yang lalu. Namun, ingatan pada harumnya aroma rerumput lalang di musim selepas hujan, tempat kami mengejar belalang-belalang hijau untuk dijadikan umpan ikan, dan tengiknya bau hutan getah, tempat kami bergelandangan meneroka apa sahaja perkara baru dalam hidup, semua kenangan itu tetap segar dalam memori ingatanku.

------------------------------------


“Nadia! Dengar siniii..!!!” Along menggoncang-goncang bahuku menghadapnya.

“Ya.. ya...” Perhatianku tertumpu penuh pada apa yang cuba disampaikannya. Aku betul-betul menghadapnya kini, sambil merenung dalam-dalam pada bebola hitam matanya.

“Dengar sini. Tolonglah! Along marah Nadia, nasihat macam tu semua pun sebab Along tak nak apa yang dah jadi kat Along, berulang pada Nadia. Tau tak?” Nada suaranya yang perlahan tetapi ditekan itu, cukup membuatku mengerti bahawa dia cuba meraih kepercayaanku pada kata-katanya.

Sebelum selama berminggu-minggu sejak kebelakangan ini wajahku suram, lesu, tanpa semangat, dan keadaan murung yang begitu nyata, yang tak mampu ku sembunyikannya.

Dan satu hari, nasihat itu, peringatannya itu menyapaku, dan ia masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Tiga golongan manusia. Yang pandai, dia belajar dari kesalahan diri sendiri dan berusaha untuk tidak lagi mengulang kesilapan yang sama. Yang cerdik, iaitu orang yang belajar dari kesalahan orang lain, dan tak melakukan kesilapan yang sama. Terakhir, orang bodoh, dia pernah tengok kesalahan orang lain, dan dia pernah buat kesilapan yang sama, tapi dia tak pernah belajar dari kesilapan tersebut.”

Aku masih tetap membisu.

“Cuba Nadia fikir. Along dah ... ."


*Apa yang Along cuba nak sampaikan? Bersambung, in shaa Allah...