Aku memandang di satu sudut
ruang tamu, rak buku yang telah dikosongkan, dengan buku-buku yang disumbat
dalam beberapa buah kotak yang disusun bertindih. Di satu sisi lain, mesin
jahit dengan benang berselirat, yang disusun berderetan. Di sebelahnya, meja
komputer yang masih belum sempat dikemas, berselerak dengan pelbagai barang
lain di atasnya; bakul VCD yang separuh penuh, spray serai wangi yang sering
kugunakan untuk membersihkan ruangan dapur, topi keledar, dan kotak-kotak kecil
peralatan komputer.
Aku memandang siling, pada kipas yang ligat berputar, dan
pada dinding-dinding rumah bercat biru yang comot dan penuh dengan tampalan
akibat rekahan. Pandanganku melirik jatuh ke bahagian bawah, di lantai mozek
putih yang hampir kosong tanpa perabot, dan pada sekujur tubuh kecil berbulu
yang sedang nyenyak tidur. Tau, kucing jantan peliharaan yang selalu membuatku
geram pada tubuhnya yang montel dan pada bulu-bulunya yang kembang.
Aku memandangnya lama. Sayu. Selepas ini aku tidak lagi
berpeluang melihatnya membesar menjadi bapa pada anak-anaknya yang comel. Aku
bakal meninggalkannya pada nostalgia pahit manis di rumah yang telah banyak
menggarap kisah suka duka dalam diari hidupku.
Di
sini, di kampung ini, tempat aku membesar. Menjadi kanak-kanak yang riang.
Bersama teman-teman dan adik-adik, merayau ke segenap penjuru kampung.
Memancing ikan-ikan kecil di kolam di balik belukar, atau di longkang-longkang
berkedalaman separuh pinggang. Memanjat pokok ciku belakang rumah, tempat
kesukaan jin-jin bertandang, kata ibu. Mengejar monyet-monyet di hutan dengan
lontaran batu, dan terkadang berpakat mengurung monyet yang masuk ke dalam
rumah mencuri makanan.
Ada
ketika lainnya, kenakalan yang tak dapat dibendung membawa kami ke bilik
belakang, tempat di mana kakiku sering disapa biratan getah paip kecil yang
keras,namun tak pernah membuatku serik. Ada ketikanya juga, kami diburu ibu
sehingga ke dalam hutan dengan sebatang rotan sebesar saiz lilitan ibu jari
orang dewasa. Namun, itu tidak sekali-kali membuatku, bahkan adik-adik juga,
merasa serik.
Suatu
ketika lain, kami akan berpakat untuk menyeludup keluar rumah. Dua orang ini
yang sering diawasi, sudah tentunya ibu, dan yang kedua ialah abang. Kami akan
lakukan apa sahaja untuk mengalih tumpuan mereka, dan akhirnya menyusup keluar
rumah secara senyap-senyap. Dan malamnya, tapak kaki kecil ini sekali lagi
menerima biratan refleksologi yang menginsafkan diri yang cuma seketika.
Tetapi, kesakitan itu tidaklah terlalu teruk jika dibandingkan kepuasan dan
keseronokan yang dikecapi selama seharian menjelajah ke ‘semak belantara’ sambil
bermandi riang di tali air hujung kampung.
Kisah
zaman kanak-kanakku. Yang telah berlalu lebih sepuluh tahun yang lalu. Namun,
ingatan pada harumnya aroma rerumput lalang di musim selepas hujan, tempat kami
mengejar belalang-belalang hijau untuk dijadikan umpan ikan, dan tengiknya bau
hutan getah, tempat kami bergelandangan meneroka apa sahaja perkara baru dalam
hidup, semua kenangan itu tetap segar dalam memori ingatanku.
------------------------------------
“Nadia! Dengar siniii..!!!”
Along menggoncang-goncang bahuku menghadapnya.
“Ya..
ya...” Perhatianku tertumpu penuh pada apa yang cuba disampaikannya. Aku
betul-betul menghadapnya kini, sambil merenung dalam-dalam pada bebola hitam
matanya.
“Dengar
sini. Tolonglah! Along marah Nadia, nasihat macam tu semua pun sebab Along tak
nak apa yang dah jadi kat Along, berulang pada Nadia. Tau tak?” Nada suaranya
yang perlahan tetapi ditekan itu, cukup membuatku mengerti bahawa dia cuba
meraih kepercayaanku pada kata-katanya.
Sebelum
selama berminggu-minggu sejak kebelakangan ini wajahku suram, lesu, tanpa
semangat, dan keadaan murung yang begitu nyata, yang tak mampu ku
sembunyikannya.
Dan
satu hari, nasihat itu, peringatannya itu menyapaku, dan ia masih terngiang-ngiang
di telingaku.
“Tiga
golongan manusia. Yang pandai, dia belajar dari kesalahan diri sendiri dan
berusaha untuk tidak lagi mengulang kesilapan yang sama. Yang cerdik, iaitu
orang yang belajar dari kesalahan orang lain, dan tak melakukan kesilapan yang
sama. Terakhir, orang bodoh, dia pernah tengok kesalahan orang lain, dan dia
pernah buat kesilapan yang sama, tapi dia tak pernah belajar dari kesilapan
tersebut.”
Aku masih tetap membisu.
“Cuba Nadia fikir. Along dah ... ."
*Apa yang Along cuba nak sampaikan? Bersambung, in shaa Allah...
No comments:
Post a Comment