Sing A Song

Thursday, November 15, 2012

Bila Cinta..

Bismillahirrahmaanirrahiiim...






Awak!
Ya, awak yang saya sayang sebagai sahabat..
Saya tak tahu apa nak cakap sebenarnya...
Mungkin ini cuma luahan hati saya yang tiada harga..
Dan mungkin awak pun tak rasa nak hargainya...
Atau mungkin saya sendiri yang terlalu bersangka..
Hmm... entah la...
Saya cuma nak bagitau awak yang saya cintakan awak 
Sebagai sahabat saya dunia akhirat
InsyaAllah.....

Saya teringin nak tahu berkenaan soalan ini..
'Siapa saya di hati awak?'

Ah!
Peritnya hati bila menanggung rindu!
Rindu yang saya pun tak tahu
Mana mula dan mana hujungnya...

Awak!
Hmmm...
Saya betul-betul tak tahu nak cakap apa.,
Menunggu awak yang tak jua kunjung tiba...
Sayakah yang bersalah?
Jawablah awak !
Kenapa awak tak jawab saya ?
Ya Allah..
Seksanya saya bila terus terusan rindukan awak...

Awak !
Saya benar-benar tak tau apa yang harus saya katakan...
Saya tak pernah berharap pengakhiran persahabatan
   yang kita sama-sama mulakan dulu
     berlalu begitu sahaja...
Kerna kita kan dah janji
 nak bersahabat selamanya
   kerana Allah
     insyaAllah sampai syurga...
Tapi sekarang...
Sayakah yang bersalah ?
Kerana belum cukup usaha untuk mengikat hati awak ?

Awak !
Saya betul-betul dah tak tau nak cakap apa..
Biarlah mereka yang lain bercinta pada yang berlawanan..
Kerna saya tau cinta seorang sahabat terhadap sahabatnya kerana Allah..
Itu lebih indah...
Dan saya benar-benar mati bicara..
Cuma lagu ni..
Saya tinggalkan untuk awak.....
Awak yang saya cinta...
Cinta kerana Allah.....





Wednesday, October 3, 2012

Lau kaana bainana...

Bismillahirrahmaanirrahim...


Pagi itu, selepas menolong ibu menyiapkan adik-adik ke sekolah, dan setelas adik-adik ke sekolah, ibu memanggilku masuk ke dalam bilik. Hanya aku dan ibu. Wajah ibu serius. Hatiku mula berdebar.

'Ini mesti berkenaan hal petang semalam,' desis hatiku.

______________________________________________________


"Ibu, ibu tau tak ada cerita seorang perempuan zaman Rasulullah dulu yang datang menawarkan diri untuk jadi isteri Rasulullah?" aku menyoal ibu, punya maksud tersirat.

"Pernah dengar juga tapi tak tau sangat. Kenapa?"

"Perempuan tu datang tawarkan diri, tapi dikutuk para sahabat kata perempuan tu tak malu. Waktu tu Rasulullah tegur para sahabat kata, bahkan perempuan tu mulia."

"Oh, tak tau pula ceritanya macam tu. Kenapa tiba-tiba Awin cerita ni?"

"Hmmm..." aku menarik nafas panjang, cuba untuk tenangkan diri, membaca basmallah seperti yang disarankannya, kemudian mula bersuara.

"Awin ada berkenan dengan seorang lelaki ni."

"Lepas tu?" ibu macam terkejut. Mungkin tak menyangka anaknya yang seorang ini sudah sampai masa untuk merasa erti cinta.

"Awin cakap kat dia yang Awin nak risik dia."

Aku kemudian menceritakan dari permulaan awal aku mengenali lelaki itu, add dia di facebook, intip segalanya, baca semua komen-komen di statusnya, analisis dia, dan mulakan langkah pertama dengan menghantar mesej bertanya, jawapannya padaku, saranannya supaya aku lakukan istikharah, mimpi aku selepas istikharah, serba sedikit yang aku tahu tentangnya, semua aku ceritakan pada ibu.

"Dah sebulan juga la Awin kenal dia. Dia tak ada la bagi jawapan apa-apa, tapi dia sarankan Awin terus terang dengan ibu, minta pendapat. Biar telus, katanya."

Aku menanti respon ibu. Tiba-tiba ibu ketawa.

'Huh! Lega.." ingatkan ibu nak marah. Maklum sahaja, sebelum ini ibu agak bertegas melarang aku berkawan dengan lelaki.

______________________________________________________


Wajah ibu masih lagi serius. Ibu minta aku duduk di kerusi bertentangan dengan kerusi ibu. Dalam debar, aku menurut. Tiba-tiba ibu tersenyum.

"Terima kasih." kata ibu.

"Hah?" aku terpinga-pinga.

"Terima kasih sebab tolong ibu hari ini."

"Oh. Ya, sama-sama." aku baru faham maksud ibu, kemudian tersengih, malu.

"Ibu dah bincang semuanya dengan abah berkenaan hal petang semalam." ibu kemudian memulakan perbualan yang lebih serius.

"Okey sekarang ibu nak Awin ketepikan dulu semua perasaan, jawab soalan ibu ini." ibu bersuara dengan lemah lembut.

"Laukaana bainana... seandainya Rasulullah ada bersama kita pada zaman ni, agak-agak Awin la, Rasulullah redha tak cara yang Awin buat ini?" tanya ibu, lembut sekali, bicara dari hati ke hati.

Aku diam. Membisu. Hanya tunduk memandang lantai. Tidak tahu jawapan apa yang harus kuberi. Akalku mula terbayang. Hatiku jadi sayu tak semena.

"Sebelum ini ibu ada juga cakap dengan abah, minta carikan, tapi abah macam tak serius."

"Ya, salah satu sebab Awin rasa nak cari sendiri tu sebab tengok abah tak serius la. Doa dah doa. Usahanya?" sampukku lemah.

"Ya, tapi sekarang abah dah ambil serius perkara ini lepas ibu cerita pada abah. Mungkin memang dah sampai masanya juga."

Ibu kemudian menasihati aku. Perbincangan pagi itu agak panjang. Macam-macam yang ibu cerita. Pengalaman ibu, risiko hari mendatang, saranan, semuanya serba sedikit penerangan. Sampai satu part,

"Sekarang ini banyak kes orang kena tipu melalui perkenalan macam ini la. Okey la, ibu bukan nak buruk sangka, tapi ini waspada. Andai kata lelaki itu memang jujur sekalipun, kita tak tahu lagi imannya macam mana.

Ibu cakap ni sebagai langkah persediaan. Nanti apa-apa hal berlaku di kemudian hari, anak ibu yang sakit, ibu juga yang susah hati.

Alam rumah tangga ini banyak cabarannya. Mula-mula ini boleh la kita kata tak ada apa-apa, insyaAllah okey sahaja semuanya, tapi kita tak tau masa akan datang macam mana lagi.

Ibu nak tanya Awin, andai kata satu hari nanti tiba-tiba bergaduh, ada kemungkinan tak yang dia akan ungkit, "Dulu kau yang cari aku, bukan aku nak sangat pun.", ada kemungkinan tak benda tu berlaku?"

Aku mengangguk lemah.

"Lagi satu, bila sekarang Awin berani berhubung dengan dia, ada kemungkinan tak yang satu hari nanti dia akan fikir yang Awin berani juga berhubung dengan lelaki lain pula? Walaupun yang sebenarnya Awin memang tak berkawan dengan lelaki, hanya dia seorang, sebab dia bukan tau pun yang Awin memang tak berkawan dengan lelaki. Ada kemungkinan tak perkara tu akan berlaku?"

Aku mengangguk lagi, lemah.

"Okey, Alhamdulillah. Ibu tau Awin tetap akan dengar cakap ibu walau tak suka sekalipun. Selama ini ibu tak bagi Awin berkawan dengan lelaki pun salah satu sebabnya nak mengelak dari berlaku perkara-perkara semacam ini la. Memanglah pada dasarnya, pergaulan tu hukumnya harus.

Sebelum ini Awin tak nampak lagi ya, apa yang ibu minta Awin buat, Awin ikutkan saja tapi separuh hati, dalam keadaan tak faham dan tertanya-tanya. Sekarang insyaAllah ibu yakin Awin dah dapat faham, bukan?

Awin beruntung ada ibu, boleh cerita semua benda. Ibu dulu tak ada tempat nak cerita. Menanggung sendiri semuanya. Sudahlah kahwin dengan abah tak pernah kenal. Tak tahu pun orang kahwin tu macam mana.

Bila dah kahwin, datang ujian itu, ujian ini, sampai terdetik di hati, 'Macam inikah orang kahwin?'

Tapi dari situ, ibu belajar sendiri. Awin beruntung, ada ibu boleh beri nasihat, tunjur ajar, dedahkan serba sedikit tentang semua ini.Ibu berdoa Awin jadi anak yang solehah, isteri yang solehah, ibu yang solehah.

Sekarang ibu nak, Awin hentikan berhubung dengan lelaki tu. Tak manis macam tu. Soal ni nanti biar ibu dan abah sahaja yang uruskan. Tak usah risau la, kalau ada jodoh, tak ke mana.

Dalam apa-apa hal pun, kita nak cari berkat kan? Ikut sunnah. Dengar cakap ibu. Soal ni urusan orang tua. Bila Awin berhubungan sendiri macam tu, takut hilang berkatnya di situ. Biar dia tahu, Awin pun ada harga diri, tak mudah-mudah nak dapat. Okey?"

"Ya, insyaAllah." aku menjawab lemah.

Sebagai langkah permulaan mengikut saranan ibu, aku memberikan handphone ku kepada ibu. Biar ibu yang pegang. Biar aku tak dapat online lagi. Biar aku tak berhubung dengannya lagi. Tahankah aku? Sampai bila?

'Ya Allah, kuatkan aku dengan kekuatanMu.'

_____________________________________________________

Malam pertama, aku gelisah. Mundar-mandir, dari ruang tamu ke dapur, ke bilik, kembali ke ruang tamu semula.

Jam baru menunjukkan pukul 9.45 malam. Kebiasaan sekarang aku sedang 'memerhatikannya', mengikut setiap perkembangannya, memantau setiap aktivitinya, meski tanpa jejak, dan tanpa disedari.

Tetapi disebabkan handphone ku dipegang oleh ibu, aku tak upaya lakukan apa-apa. Aku cuba mencari helah.

"Ibu, Awin nak handphone. Nak tidur dah ni, nak guna alarm Takut tak terbangun nanti."

"Guna handphone ibu saja. Ada kat bilik tu tengah cas. Ambillah." kata ibu.

'Oh, nampaknya aku tiada alasan lagi.'

Malam itu, aku sukar sekali melelapkan mata. Pusing kanan, pusing kiri, tak juga tidur. Aku tak tahu bila masa aku tertidur. Sedar-sedar, jam menunujukkan pukul 3.30 pagi. Aku bangun.

Di pagi yang kelam, dengan cahaya bulan yang suram, aku tenggelam dalam sendu, munajat padaNya. Lama sujudku, penuh harap...

"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan hatiku ini mencintai makhlukmu lebih dari cintaku kepadaMu. Tuhan, sesungguhnya aku tak berdaya menolak cinta ini dari terus membenggu jiwaku. Maka, Engkau pandulah hatiku untuk mencintainya hanya keranaMu..."


Sumber: Unknown

Pakcik! Tok se nak kelentong!





Insiden ini berlaku sewaktu saya bersama rakan sekelas, merangkap rakan serumah di Akademi Bakery dahulu, pergi ke Gombak.

"Pakcik, kami nak pergi tempat ini, pakcik tahu tak?" tanya Nina kepada pemandu teksi, sambil menunjukkan secebis kertas kecil bertulis alamat sebuah pusat belajar bakery.

"Oh, tahu. Okey naiklah."

Saya, Nina, dan Nada masuk ke perut teksi, duduk di bahagian belakang, sementara Amalina pula duduk di kerusi sebelah pemandu.

"Pakcik, jangan kasi tambang mahal-mahal tau. Kami datang dari jauh, Bangi sana tu. Kesian kami. Lagipun kami student lagi. Mana ada duit sangat," Nina memulakan hobinya yang suka membodek itu.

"Tapi tempat ini jauh juga," kata pakcik.

"Oh. Agak-agak berapa tambangnya?" tanya Nada.

"Ikut meter la. Tapi ada dalam dua puluh ringgit juga," 

Tiba-tiba kami ketawa serentak. Sinis.

"Haha. Pakcik tokse nak kelentong kami la. Sebelum datang sini, kami sudah tanya kawan kami yang pernah datang tempat tu semalam. Dia kata dekat sahaja tempatnya dengan stesen LRT ini, lebih kurang tiga ringgit sahaja tambang teksi," Amalina yang sejak tadi diam, tiba-tiba menyampuk.

"Haha, iya lah. Pakcik saja bergurau dengan kamu semua," jawab pakcik tu lagi.

'Huh! Nak cover la tu! Nak tipu kami? Mimpi di siang hari la pakcik oi," desis hati saya, jelek.


Pesanan buat diri. Sentiasalah berwaspada. Sediakan tembok sebelum tsunami, persiapkan benteng sebelum diserang todak. Dunia ini memang banyak helahnya. Jangan mudah terpedaya.

Nasihat buat diri. Lakukanlah sesuatu dengan seikhlas hati. Lebih-lebih lagi dalam bekerja mencari rezeki. Ingat! Apa yang kita makan itulah yang akan menjadi darah daging kita. Bila rezeki yang kurang berkat, dapat dengan cara yang tak tepat, ia bakal merosakkan ibadat kita yang lainnya.

Bila ibadat tidak sempurna, tidak diterima, adakah bahagia buat kita? Hanya sengsara, jiwa merana, gelisah sentiasa, berisiko pula menjadi gila. Akhirnya binasa dunia, akhirat jua yang tergadai.

Jaga diri, jaga iman.

-nadiazack-



Friday, September 28, 2012

Bukan Milik Kita






"Mak aku sekarang dah tak ambil pekerja sangat dah. Buat sendiri je," cerita seorang kawan kepada saya.

"Oh, kenapa?"

"Susah la. Ramai yang kerja dengan mak aku, balik-balik dia orang buat niaga. Curi resepi mak aku. Mak aku tak nak la macam tu. Kacau bisness mak aku la macam tu. Mak aku penat-penat reka resepi, senang-senang je dia orang ambil lepas tu buat bisness dia orang." ceritanya lagi dengan nada geram.

"Oh," saya hanya mengiyakan ceritanya. Tidak tahu hendak respon apa.

Okey, anda rasa apa yang berada di fikiran saya waktu itu? Maaf kawan, bukan mahu mengumpat, sekadar mengingatkan kepada sesiapa yang tak ingat.

Ilmu Allah ni luas, sehingga Allah sebut dalam al-Quran,

Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)”. (QS al- Kahfi [18]:109)

Allah hanya beri kita sikit sahaja dari ilmuNya. Diulang, dari ilmuNya. Ya, dari ilmu Allah, bukan ilmu kita. Jadi? 

Ajarkanlah kepada manusia-manusia, tentang apa yang kamu perolehi dari ilmuNya, kelak insyaAllah, Dia pasti akan menambah kepadamu apa yang Dia kehendaki kamu mengetahuinya.





Saya ada seorang kawan di academy bakery tempat saya belajar dulu, yang saya berasa agak kagum juga padanya. 

Sebelum masuk di akademi tersebut, dia sudah pun mengambil sijil kemahiran belajar Pastry, juga mengikuti beberapa kelas lain, yang yurannya sudah pastilah mahal juga.

Apa yang membuatkan saya kagum padanya ialah, dia tidak lokek berkongsi resepi pada kami. Apa yang dia tahu, banyak  yang diajarnya pada kami, tanpa memikirkan dari mana dia dapat ilmu tersebut, dengan cara apa, dan berapa yang dia telah habiskan untuk mendapatkannya.
Katanya,

"Buat apa nak kedekut ilmu, bukan boleh bawa mati pun. Setiap orang ada air tangan masing-masing yang berbeza. Buatlah ikut bahan yang sama, cara yang sama, rasanya tetap tak sama. Tak usah risau la orang nak kacau bisness kita, rezeki semua Allah dah tetapkan."

Sekarang, saya mengetahui khabar darinya bahawa bisness yang dilakukannya semakin maju, Alhamdulillah. Saya juga jarang-jarang dapat berhubung dengannya kerana dia selalu sibuk dengan tempahan orang yang tak berhenti-henti.

Doa saya, semoga Allah memberkati rezekinya, dan melimpah kurniakan lagi rezeki kepadanya, dan semoga dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang bersyukur.

Teringat dialog saya bersama adik bongsu saya,

"Wah! Pandainya Muhammad. Siapa bagi Muhammad pandai ni?" tanya saya.

"Allah la yang bagi Muhammad pandai. Tak tahu ke?" jawabnya, dan meninggalkan soalan kepada saya pula.

Hanya tersenyum mendengar jawapannya..  :)

-saya-


Tuesday, September 25, 2012

Dahulu, Tuhan Tak Adil..


gelapnya dunia ini :'(


Dahulu..
Kehidupan yang saya rasakan sangat jauh dari Tuhan,
Saya selalu mempersoal kenapa Tuhan jadikan begitu begini,
Yang sengsara dalam hidup saya,
Semakin hari saya rasakan,
Tuhan semakin tidak adil pada saya!
Kenapa saya?

Suatu tika..
Tanpa saya sangka,
Kehadiran dia dalam hidup saya,
Telah mengubah segala,
Dia bimbing saya keluar,
Dari kepompong dunia sengsara yang saya cipta sendiri,
Dia bawa saya kenal erti keadilan Tuhan,
Dia bawa saya mengerti tentang ujian Tuhan,
Yang membuatkan saya tabah dalam kehidupan,
Demikian sekali,
Tanpa saya sedar,
Dia bawa saya berfikir,
Melihat dunia kegelapan saya,
Dari dimensi yang berbeza.

Di situ..
Saya mula melihat,
Cahaya yang tersembunyi,
Di balik tabir kegelapan,
Yang selama ini sengaja saya tutup.

Tuhan..
Kehadirannya sebagai sahabat dalam hidupku,
Merupakan anugerah terbesar dari-Mu,
Kerna di sebalik anugerah itulah,
Kau berikan aku,
Sekeping hati baru,
Hidayah dari jalan-Mu.

Tuhan,
Dalam sujudku yang panjang,
Dalam senduku di malam kelam,
Kupohon pada-Mu,
Jangan Kau ambil,
Nikmat iman yang kini ku kecapi.

Tuhan,
Kurniakan aku cinta,
Yang tiada yang lebih hebat,
 Melainkan cinta kepada-Mu.

Tuhan,
Hatiku ini hanya cukup untuk satu cinta,
Andai aku tidak meletakkan hatiku,
Pada cinta pada-Mu,
Ke mana lagi wajahku inginku sembunyikan dari-Mu...

Sesungguhnya,
Solatku,
Ibadahku,
Hidupku,
Dan matiku,
Hanyalah untukMu ya Rabb...


*aku yang mencintaiMu*

-nadiazack-




Warkah Untuk Awak

Bismillahirrahmaanirrahiim...






Assalamualaikum awak !

Saya harap awak baik-baik saja :)

Awak ! Walaupun warkah yang saya taip ni agak panjang, dan bakal membuatkan awak bosan membacanya, saya tetap berharap awak sudi meluangkan sedikit kesibukan masa awak membacanya.
Luahan ini adalah dari rasa hati saya yang paling dalam, untuk awak. Ya, hanya untuk awak.

Awak ! Suatu masa dulu, saya, awak, dan dia, bersahabat baik. Kita bertiga sangat rapat kan? Mana-mana pergi mesti saya bersama awak dan dia. Saya kira, satu sekolah pun tau (kalau saya tak perasan sendiri). 

Walaupun saya tak sama batch dengan kalian, tapi ia tak menghalang untuk saya merasa selesa bersama kalian. Saya lebihkan kalian lebih dari rakan-rakan satu batch saya, malah lebih dari diri saya sendiri. Apa sahaja untuk kalian. Waktu tu saya rasa bahagia sangat. Kita berkongsi segala rasa. Gembira, sedih, suka, duka. Tuhan saja yang tahu betapa saya sangat menyayangi kalian sebagai sahabat saya, insyaAllah fillah.

Kita sama-sama saling tegur menegur, saling mengingatkan, agar sama-sama sentiasa istiqamah di jalan-Nya. Bila saya rasa down, saya mesti cari kalian, kerana melihat kalian saja sudah buat saya rasa semangat. Kuatnya aura persahabatan andai kerana Allah.

Suatu hari, takdir Allah menguji kesetiaan persahabatan kita. Dia terpaksa berjauhan dari saya dan awak, kerana sebab tertentu. Semenjak tu, sayang saya banyak tertumpu pada awak. Kita banyak melakar impian bersama, buat kerja gila bersama, terjun dalam tangki air hitam toilet tingkat 5, berkongsi resepi, dan yang paling penting, saling menegur salah silap.

Ada suatu hari, di hadapan saya, awak mengaku pada rakan satu batch saya, yang awak sayang saya lebih dari orang lain. Kata awak lagi, best friend dan sahabat tak sama. Terharunya saya dengan pengakuan awak tu. Saya hanya mampu tersenyum, dan menahan sebak dalam hati.

Dan kita semakin rapat, dalam masa yang sama, tak melupakan dia. Kita sama-sama saling berutus surat untuk dia. Waktu tu, hati saya terdetik, 'campaklah ke ceruk dan benua mana pun, hubungan kita tak mungkin akan terjejas'.

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu. Saya pun telah menamatkan pengajian saya di sekolah yang mencoret banyak kenangan saya bersama awak dan dia. Walaupun begitu, saya tak lupa bertanya khabar awak, sesekali juga datang menziarahi awak. Dan setiap kali itu saya berasa senang hati kerana perkhabaran awak sentiasa baik, malah semakin baik dari semasa ke semasa. Syukurlah awak kuat mempetahankan jati diri awak. Saya pun tak adalah risau sangat dengan awak.

Selepas awak tamat sekolah, saya cuba ajak awak dan dia ikut program yang selalu saya sertai. Alhamdulillah, dia senang hati mengikut pelawaan saya. Cuma awak sajalah, terlalu sibuk dengan urusan yang perlu diselesaikan, juga urusan wasiat arwah ayah awak (yang saya dapat tau). Semoga Allah permudahkan segala urusan awak.

Semakin hari yang semakin menjarakkan saya dari awak, saya merasakan awak semakin menjauh dari saya. Bukan saya tak cuba hubungi awak, tapi jawapan awak tetap sama, awak kata awak sibuk. Saya pun tak tau atas urusan apa, sebab awak tak pernah nak bagitau. Saya cuba sangka baik saja dengan awak.

Tapi,makin hari saya rasa awak seolah sengaja menjauh dari saya. Mesej saya tak berbalas. Bila saya call, awak tak angkat. Lepas tu awak mesej saya kata maaf, awak tak boleh jawab panggilan saya sebab sibuk sangat. Awak kata lagi,nanti lepas urusan awak selesai, awak janji akan hubungi saya semula. Saya tetap tunggu.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, janji hanya tinggal janji, awak tak juga hubungi saya. Waktu saya menaip luahan hati saya ni, saya tak dapat menahan air mata dari jatuh kerana terkenangkan awak :'(

Sekarang, saya dah terputus langsung perkhabaran tentang awak. Sihatkah? Baikkah iman awak? Semua persoalan tu membelenggu fikiran saya, dan saya rasa bersalah sangat. Saya pun tak tau apa kesalahan yang saya dah buat pada awak sehingga awak menjauhkan diri dari saya. Yang saya pasti, saya telah gagal menjadi sahabat yang baik buat sahabat yang amat saya kasihi :'(

Awak! Sekarang, dia pun dah terbang jauh dari mata kita, demi menggapai cita-citanya membela ummah. Saya sudah merasa sedikit kehilangan, dan lagi bertambah rasa bila terkenangkan awak yang ditunggu tak jua kunjung tiba.

Awak! Saya tak tau nak buat apa dah sekarang. Yang terdaya saya lakukan, hanya mampu berdoa untuk awak, untuk iman awak, dan semoga Allah tetap beri peluang saya berada di hati awak, sampai mati. Sampai bila-bila pun, saya tetap sayang awak fillah, dan sampai bila-bila pun awak tetap ada dalam hati saya.

Awak sahabat saya, semoga rahmat Allah sentiasa bersama awak. Lagu ni khas saya tujukan buat awak.




-tulus dari hati saya, untuk awak-



Saturday, September 22, 2012

Mengukir Cinta Di Gerbang Syurga




Melangkahnya aku di pesisir pintu taubat..

Mencari erti ketulusan hati..

Menadah butir cinta dari Ilahi..

Mengutip kembali satu kenangan..

Yang dulu pernah menghiasi diri..

Dan ianya lari diganti kealpaan..

Hakikat cinta yang dulu kusanjung..

Hanyalah cinta di satu musim..

Harumnya cuma sebentar..

Membuat lara datang membekas hiba..

Kembali bertandang nilai sebuah penyesalan..

Perjalanan hidup yang makin jauh menongkah..

Buat aku lebih fasih menterjemah jalan kehidupan..

Manisnya madah cinta durjana..

Indahnya bicara kasih yang hina..

Penyebab aku sering terluka..

Dibadai cinta berdusta..

Hingga satu tika..

Nur kasih-Mu kembali menjadi pautan..

Mematikan nafsu amarah yang tercela..

Menghidupkan rasa cinta pada Pencipta..

Moga..

Rasa kasih itu..

Akan bisa..

Mengukir cinta di gerbang syurga..



-by: Nur Hanis- 

Friday, September 21, 2012

Detik 23



Menghampiri gerbang 23..
Aku semakin takut..
Semakin takut..
Semakin takut..
Takut untuk kehilanganmu..
Kata mereka..
Aku terlalu 'over'..
Biarkan..
Mereka tak tahu..
Detik yang pernah kulalui bersamamu..
Mereka tak mengerti..
Perit, pedih , tangisan kita bersama...
Mereka tak merasa..
Saat kita gembira seiringan..
Biarkan kata mereka..
Kerna yang merasa..
Aku!
Bukan mereka!
Walau berat..
Terpaksa melepaskanmu pergi..
Jauh dari diriku..
Jauh dari mataku..
Tapi aku berjanji..
Dan akan pastikan...
Bahawa kau takkan jauh dari hati ku...
Semoga doaku terkabul..
'Tuhan,, 
Semoga aku takkan kehilangan sahabat sebaik dia.....'
 

Belajar Dari Anak Kecil

Usai solat Maghrib, saya duduk berteleku. Bermuhasabah barangkali. Perlahan, mushaf al-Quran di riba saya selak helaian demi helaian. Mencari tanda bacaan terakhir.

   Menjadi kebiasaan setiap selepas Subuh dan Maghrib kami sekeluarga akan berkumpul membaca al-Quran. Suasanana akan menjadi lebih meriah bila semua adik-beradik pulang dari asrama.

   Sesungguhnya suasana yang sebegitu sangat sukar ditemukan, kerana majoriti kami sudah pun berjauhan. Ada yang di Pantai Timur, dan sebagainya.

   Kemungkinan dalam satu tahun hanya dua kali sahaja saya dapat merasa suasana tersebut. Pada cuti raya Aidilfitri dan Aidiladha. Itu pun kadang-kadang raya Aidiladha ada juga yang tidak dapat pulang kerana cuti yang singkat.

   Saat tiba suasana itu, tiada yang lebih mengindahkan hidup saya selain berada dalam suasana dengungan ayat-ayat suci al-Quran yang dialun, memenuhi setiap sudut ruang tamu, meresap ke segenap inci jiwa, mencengkam kukuh rohani. Terlalu asyik rasanya. Ia suatu nikmat yang sangat sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.

   Kata ibu, "Bila macam ni selalu, kalau Allah beri lagi 20 orang anak pun ibu sanggup."

   Itulah ibu. Hobinya melahirkan. Dan sememangnya dengan niat yang sejak dari awal perkahwinan itu, Allah telah menganugerahkan ibu berupa kami, 12 orang anak-anaknya, 7 lelaki dan 5 perempuan. Insya-Allah baik-baik belaka. Semuanya punya fi'il yang berbeza.

   Itu pun kata ibu, ibu agak sedikit menyesal kerana telah mengikat rahim, kerana adik bongsu saya lahir melalui proses pembedahan.

   "Alang-alang sudab belah, ikat teruslah," kata ibu.

   Sekarang umur adik bongsu saya sudah pun mencecah umur 4 tahun.


Kadang-kadang penat mahu melayan keletahnya yang macam-macam.


   Terkadang, saya jadi rindu untuk merasa punyai adik bayi lagi. Sebagai antara anak-anak ibu yang terawal, biasanya setiap 2 tahun sekali saya akan menyambut kegembiraan mendapat adik baru.

Tika itu, gembiranya hati tidak terkata. Kalau boleh, setiap saat, setiap waktu, adik itu ingin saya kelek. Di waktu makan, di waktu main, diwaktu tidur, di waktu mandi sahaja tidak :)

Oh, sesungguhnya sejarah itu akan tetap menjadi kerinduan yang tiada titik penghujungnya.

Sekarang, adik-adik pun sudah menginjak usia menjangkau kematangan.Dan dalam sedar tak sedar, saya sebenarnya telah banyak belajar tentang kehidupan dari karenah adik-adik. 

Hikmah Tuhan anugerahkan saya punya adik-adik yang ramai. Kata orang, bicara kanak-kanak itu teguran 'direct' dari Allah buat kita, kaum dewasa.

Teringat saya akan suatu kisah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sewaktu beliau dilantik menjadi khalifah, ramai pembesar dari seluruh tanah Arab datang memberikan sokongan, termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Kanak-kanak itu pun ke hadapan untuk menyatakan sokongan, namun dihalang oleh khalifah, seraya berkata,

"Beri yang tua bercakap dahulu."

Kanak-kanak itu lalu berkata,

"Manusia di dunia ini diukur dengan 2 perkara, iaitu otak yang kuat ingatannya dan lidah yang petah berkata-kata. Sekiranya ada 2 perkara ini pada seseorang itu, maka dia layak untuk bersuara. Seandainya manusia diukur pada umurnya, maka tuan tidak layak menyandang jawatan khalifah, kerana ada yang lebih layak dari tuan."

Jawapan kanak-kanak itu telah mengharukan hati khalifah Umar Abdul Aziz.

Sungguh! Bicara kanak-kanak itu suatu yang suci kerana ia lahir dari hati yang tulus.

Monday, September 10, 2012

Impian atau angan-angan?


MELAWAT WAD PSIKIATRI

Saya tidak tahu mengapa saya perlu untuk terlalu merasa minat pada bidang berkaitan psikologi. Hasrat saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Takdir Allah tersusun cantik, saya tidak (mungkin juga belum) berpeluang menjadi seperti impian saya itu.

Oleh kerana minat tersebut juga, suatu hari saya minta dibawakan ke wad psikiatrik. Alang-alang sudah berada di USM, inilah masanya. Andai saya melepaskan peluang ini, bila lagi saya diberi peluang kedua.

Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap. Kak Ayu (kawan kakak yang sudah saya anggap seperti kakak saya juga) memberikan saya kot doktor berwarna putih.

“Dalam wad tu, tak boleh sembarangan orang yang masuk. Pakai kot ni, berlagak sikit macam doktor,” dia menerangkan, semacam tahu persoalan dalam minda saya.

Sampai di pintu wad yang berpagar,

“Pergi! Pergi! Berambusmu nate sia*!”

Berderau darah saya. Kehadiran kami disambut kata makian. Saya kaget. Teragak-agak mahu meneruskan langkah.

“Masuk sahaja. Jangan pedulikan. Dia memang selalu macam tu. Mengamuk tak tentu fasal, menyanyi bersendirian kadang,” terang seorang jururawat wanita yang menjaga pintu.

Saya lihat di katil hadapan, betul-betul menghadap pintu masuk, seorang wanita diikat kedua belah tangannya, rambutnya serabai mengerbang, wajahnya bersolek tebal umpama ‘opera comot’. Dia meronta-ronta sambil menjerit maki hamun. Kakinya menendang-nendang angin.

‘Kasihan,’ desis hati saya. Dalam hati tertanya-tanya apa sejarah hidupnya sehingga dia jadi begitu.

“Dengar cerita, dia jadi macam tu sebab suami dia dera dia. Lebih dia tak dapat terima sebab suami dia ceraikan dia,” beritahu seorang jururawat.

‘Begitu sekali?’

Pentingnya kekuatan iman dan rasa redha dengan ujian. Jika tidak, beginilah jadinya.

Kami ‘meneruskan perjalanan’ sehingga sampai di pertengahan wad. Ada beberapa meja dan kerusi disusun di tengah-tengah ruangan berhadapan kaunter.

Di satu meja, ada seorang wanita bertudung, sedang memegang mushaf al-Quran. Baru selesai mengaji barangkali. Wajahnya ala-ala kacukan arab. Cantik!

Namun, saya terkejut bila diberitahu bahawa dia salah seorang pesakit yang ditahan. Mulanya, saya kira dia hanya pelawat, atau mungkin menjaga ahli keluarga yang ditahan di situ.

Kami bersalaman dengannya dan menerangkan tujuan kedatangan untuk menemubual. Dia mempersilakan kami duduk di kerusi bertentangan, sementara dia pergi menyimpan al-Quran.

Seolah sudah menghafal perenggan, dia memperkenalkan dirinya satu persatu, bermula dari nama, asal, sehingga ke episod terdamparnya dia di situ, dengan jelas dan laju sekali.

Seorang yang peramah saya kira, rupanya baru hari yang ke 49 dalam pantang melahirkan anak keempat. Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, juga isteri kepada seorang warga Pakistan.

Menyingkap kehidupannya, dahulu seorang pelajar cemerlang di sekolah dan tersenarai dalam kumpulan pelajar ‘straight A’. Ketika berada di tingkatan 2 sebuah sekolah berasrama penuh, pelbagai konflik yang berlaku dalam hidupnya, sehingga doktor mengesahkan bahawa dia penghidap scizofrenia.

Masuk kali itu, sudah 24 kali dia ditahan di wad. Bila ditanya jangka dia akan keluar, dia mula bercerita dengan emosi yang sangat marah (terkesan dari gaya cerita yang sengaja ditekan dan mata yang mencerlung tajam),

“Sebenarnya petang semalam saya sudah dibenarkan keluar, tetapi disebabkan cikgu ***** yang $*&@ tu cari gaduh dengan saya, saya terpaksa berada dalam ni lagi hari ini. Saya memang sangat pendendam. Jangan ada yang cari fasal dengan saya, memang saya tidak akan maafkan sampai mati!”

Seorang wanita berbadan sedikit gempal yang sedang makan di meja belakang kami tiba-tiba bangun, mengamuk sambil membaling apa sahaja yang berada berhampirannya.

Suasana jadi kecoh dengan kata makian yang bersahut, dan jururawat yang berusaha menenangkan pesakit itu.

Setelah dijelaskan, baru saya faham. Cikgu yang dimaksudkan ialah wanita yang berbadan gempal itu. Patutlah dia tiba-tiba mengamuk.

Situasi tersebut amat menakutkan saya. Saya merasakan muka saya pucat tanpa darah tika itu. Sesi temubual kami berhenti sampai di situ sahaja.

“Nak jalan lagi? Temubual pesakit lain pula,” tanya kak Ayu. Saya cepat menggeleng.

‘Entah apa lagi akan berlaku selepas ini.’

Pengalaman tersebut cukup membuatkan saya fobia sehingga sekarang. Dan memangnya saya sangat tidak boleh melihat situasi pergaduhan. Saya rasa seperti sakit jiwa jadinya. Mungkin juga sedikit sebanyak kerana impak dari sejarah hidup yang kurang manis, yang tak perlu saya ceritakan di sini, biar jadi rahsia antara saya dan Dia. Kerna semua insan akan pernah merasa pahit manis sebuah kehidupan. Hanya iman penyelamat akidah.

Kesimpulannya yang dapat saya ambil ibrah dari tragedi itu ialah, Allah memberi bukan apa yang kita inginkan, seperti keinginan saya untuk berada di bidang itu, tetapi Allah beri mengikut apa yang kita perlu dan mampu.

“..Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia tidak baik bagimu. Sungguh, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”  [2:216]

1 Malam 3 Kebaikan

Selepas SPM, saya mengambil keputusan untuk terbang ke Kelantan, tinggal bersama kakak di USM. Lebih kurang seminggu saya di sana, meninggalkan kenangan juga dalam hidup saya.

KEMBALI BERTEMU

Suatu malam, kakak mengajak saya menghadiri forum ( saya tidak ingat apa tajuknya ). Setelah bersiap, saya menunggu kakak. Tiba-tiba, kakak beritahu saya, dia tidak dapat dapat pergi bersama saya, tetapi meminta kawannya menemani saya. Waktu itu saya agak sedikit geram dengan kakak. Tetapi tidak mengapa. Saya cuba positifkan diri.

Sebenarnya saya sudah rasa kurang bersemangat untuk pergi. Cepat-cepat saya perbetulkan niat dan pujuk hati saya.

'InsyaAllah, saya pasti. Allah tidak akan sia-siakan malam saya ini.'

Dalam perjalanan ke tempat forum, sempat juga saya berbual-bual dengan kawan kakak. Alhamdulillah, bertambah kenalan saya.

Sampai di tempat forum, program baru sahaja bermula, jadi saya tidak ketinggalan terlalu jauh. Saya cuba berikan sepenuh tumpuan pada perbincangan tersebut.

Saya kira tajuknya sahaja sudah mendapat sambutan. Pengisiannya juga agak menarik. Saya sempat menganalisis bahawa ahli-ahli panel yang dipilih juga bukan calang-calang. Keseluruhan program, saya sangat berpuas hati.

Akhir program, ketika saya mula bangun untuk beredar, seseorang datang menegur saya.

'Hah?'

Ya Allah! Terujanya hati tidak terkata. Saya terasa seperti mahu menjerit sahaja di situ. Cepat-cepat saya kawal diri agar tidak bertindak keterlaluan. Maklum sahaja, saya seorang yang cepat meng'ekspresi' perasaan melalui tindakan.

Rupanya senior saya sewaktu di IQKL ( sekolah menengah saya dahulu ). Kecil sahaja dunia ini. Sejak di IQKL, saya memang mengagumi senior saya itu. Kak Dayang Nur Zakiah Binti Abang Yusof, anak kelahiran Sarawak ini seorang yang sangat merendah diri, walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba sempurna.

Tamat pengajiannya di IQKL, saya sudah tidak tahu khabarnya lagi selepas itu. Takdir Allah menemukan kami dalam majlis yang penuh berkat.

“Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 1)

 Malam itu, saya nampak 3 kebaikan yang saya dapat. Pertama, saya dapat menghubungkan silaturrahim dengan 2 orang saudara Islam. Kedua, ganjaran berada dalam majlis ilmu. Ketiga, saya menerima 2 kebaikan tersebut dari sangka baik saya kepada Allah. :)

Sunday, June 10, 2012

Tanpa

Resah..

Yang kuubah dalam kata

Melukiskan kesunyian

Tanpa Engkau, aku tak mengerti..

  Meski pagi itu indah

  Tapi..

  Akan sunyi tanpa-Mu menemani

  Aku sepi...

Tanpa cinta-Mu aku resah

Tanpa kasih-Mu aku hampa

Tanpa diri-Mu aku mati..

  Kini..

  Benar-benar ku rasakan

  Dalam relung hatiku

  Tanpa-Mu

  Aku tak mengerti..

Daku..

Takut jauh dari diri-Mu

Dan Kau tinggalkan aku sendiri

Tanpa-Mu ku mati...

       -sixthsense-

Salahku Mencinta

Telah jauh terhanyut

Aku dalam kehinaan itu

Dalam ruang.. dan waktu

Sendiriku jalani

Sepiku tanpa diriMu

Resahku tanpa cintaMu

Sungguh berat hatiku merasakannya..

 Salahku mencintai dunia ini

 Saat jauh ku terlalai dariMu

 Dan hadirnya dunia ini menyentuh hatiku

 Untuk mencintainya

 Hatiku pun merelakannya

 Hingga runtuh setiaku padaMu...

Kusakiti hatiku sendiri..

Kuzalimi diriku sendiri..

 Maafkanku Tuhan

 Kerna tak bisa

 Menahan diri ini

 Dari terus hanyut

 Pada fana kehinaan itu..

Tuhan...

Berilah aku saatnya

Yang memberi ruang

Dalam hatiku

Untuk mencintaiMu

Sekali lagi..

Dan sekali

Yang hingga ke akhirnya...


       -edit : tak bisa memilihmu-

Mengharap

Suatu ketika

Aku sendiri

Sepi.. tanpa khabar...

Diam.. tanpa berita...

Seolah menjauh

Jangan diganggu!

Bila kau mendekat

Seolah mengusirmu

Pergi!!

Namun..

Jauh di sudut hati

Ingin sekali

Dan mengharap kau datang

Benar!

Benar-benar aku perlukanmu

Mengharap kau bantu

Melakar cintaNya

Walau tanpa laku

Tidak kurang

Mengerti..

Dalam diamku

Aku sedang bicara denganmu

Bicara tanpa kata

Tapi siapa yang mengerti?

Hanya Dia...

Friday, June 8, 2012

Hati, kamu kat mana?



Siksanya..
bila yang seharusnya manis terasa tawar..
yang indah kelihatan hambar..

Tak tentu arah
Sana
Sini
Situ
Hei hei hei
Nak ke mana ni?

Ehhh jap jap
Jangan gi dulu!
Nanti menonong entah ke mana
Jap jap jap
Siapa boleh pandu?
Hati saya hilang!

Huhuhu..
Siksanya rasa..


Allah..


Pimpin saya..
Dengan rendah hati..

Saya mohon hati saya kembali..

Tuesday, June 5, 2012

SANGAT CUKUP !!!

Kelmarin..

Aku lihat yang itu adalah terbaik 

Sehingga pada semua mahu kuberitahukan

Semalam aku bertemu yang rasaku lebih baik dari kelmarin 

Sehingga aku mahu beralih arah 

Tetapi hari ini aku belajar erti bersyukur 

Pada yang satu itu 

Kerna aku nampak kesan buruknya lebih 

Sehingga menutupi kebaikan sesuatu 

Yang aku dapatkan semalam 

Tetapi aku tidak harus mengambil sepenuh keduanya 

Atau tidak harus meninggalkan keduanya 

Kerna setiap suatu itu pasti ada di sebaliknya pelajaran 

Yang mahu Tuhan sampaikankan pada aku

Sungguh!

Segalanya tiada yang sempurna

Kerna itu 

Dengan merasa bersyukur itu 

SANGAT CUKUP

Untuk menutupi segala kecelaan ..