KEMBALI BERTEMU
Suatu malam, kakak mengajak saya menghadiri forum ( saya tidak ingat apa tajuknya ). Setelah bersiap, saya menunggu kakak. Tiba-tiba, kakak beritahu saya, dia tidak dapat dapat pergi bersama saya, tetapi meminta kawannya menemani saya. Waktu itu saya agak sedikit geram dengan kakak. Tetapi tidak mengapa. Saya cuba positifkan diri.
Sebenarnya saya sudah rasa kurang bersemangat untuk pergi. Cepat-cepat saya perbetulkan niat dan pujuk hati saya.
'InsyaAllah, saya pasti. Allah tidak akan sia-siakan malam saya ini.'
Dalam perjalanan ke tempat forum, sempat juga saya berbual-bual dengan kawan kakak. Alhamdulillah, bertambah kenalan saya.
Sampai di tempat forum, program baru sahaja bermula, jadi saya tidak ketinggalan terlalu jauh. Saya cuba berikan sepenuh tumpuan pada perbincangan tersebut.
Saya kira tajuknya sahaja sudah mendapat sambutan. Pengisiannya juga agak menarik. Saya sempat menganalisis bahawa ahli-ahli panel yang dipilih juga bukan calang-calang. Keseluruhan program, saya sangat berpuas hati.
Akhir program, ketika saya mula bangun untuk beredar, seseorang datang menegur saya.
'Hah?'
Ya Allah! Terujanya hati tidak terkata. Saya terasa seperti mahu menjerit sahaja di situ. Cepat-cepat saya kawal diri agar tidak bertindak keterlaluan. Maklum sahaja, saya seorang yang cepat meng'ekspresi' perasaan melalui tindakan.
Rupanya senior saya sewaktu di IQKL ( sekolah menengah saya dahulu ). Kecil sahaja dunia ini. Sejak di IQKL, saya memang mengagumi senior saya itu. Kak Dayang Nur Zakiah Binti Abang Yusof, anak kelahiran Sarawak ini seorang yang sangat merendah diri, walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba sempurna.
Tamat pengajiannya di IQKL, saya sudah tidak tahu khabarnya lagi selepas itu. Takdir Allah menemukan kami dalam majlis yang penuh berkat.
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 1)
Malam itu, saya nampak 3 kebaikan yang saya dapat. Pertama, saya dapat menghubungkan silaturrahim dengan 2 orang saudara Islam. Kedua, ganjaran berada dalam majlis ilmu. Ketiga, saya menerima 2 kebaikan tersebut dari sangka baik saya kepada Allah. :)
No comments:
Post a Comment