Sing A Song

Friday, September 21, 2012

Belajar Dari Anak Kecil

Usai solat Maghrib, saya duduk berteleku. Bermuhasabah barangkali. Perlahan, mushaf al-Quran di riba saya selak helaian demi helaian. Mencari tanda bacaan terakhir.

   Menjadi kebiasaan setiap selepas Subuh dan Maghrib kami sekeluarga akan berkumpul membaca al-Quran. Suasanana akan menjadi lebih meriah bila semua adik-beradik pulang dari asrama.

   Sesungguhnya suasana yang sebegitu sangat sukar ditemukan, kerana majoriti kami sudah pun berjauhan. Ada yang di Pantai Timur, dan sebagainya.

   Kemungkinan dalam satu tahun hanya dua kali sahaja saya dapat merasa suasana tersebut. Pada cuti raya Aidilfitri dan Aidiladha. Itu pun kadang-kadang raya Aidiladha ada juga yang tidak dapat pulang kerana cuti yang singkat.

   Saat tiba suasana itu, tiada yang lebih mengindahkan hidup saya selain berada dalam suasana dengungan ayat-ayat suci al-Quran yang dialun, memenuhi setiap sudut ruang tamu, meresap ke segenap inci jiwa, mencengkam kukuh rohani. Terlalu asyik rasanya. Ia suatu nikmat yang sangat sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.

   Kata ibu, "Bila macam ni selalu, kalau Allah beri lagi 20 orang anak pun ibu sanggup."

   Itulah ibu. Hobinya melahirkan. Dan sememangnya dengan niat yang sejak dari awal perkahwinan itu, Allah telah menganugerahkan ibu berupa kami, 12 orang anak-anaknya, 7 lelaki dan 5 perempuan. Insya-Allah baik-baik belaka. Semuanya punya fi'il yang berbeza.

   Itu pun kata ibu, ibu agak sedikit menyesal kerana telah mengikat rahim, kerana adik bongsu saya lahir melalui proses pembedahan.

   "Alang-alang sudab belah, ikat teruslah," kata ibu.

   Sekarang umur adik bongsu saya sudah pun mencecah umur 4 tahun.


Kadang-kadang penat mahu melayan keletahnya yang macam-macam.


   Terkadang, saya jadi rindu untuk merasa punyai adik bayi lagi. Sebagai antara anak-anak ibu yang terawal, biasanya setiap 2 tahun sekali saya akan menyambut kegembiraan mendapat adik baru.

Tika itu, gembiranya hati tidak terkata. Kalau boleh, setiap saat, setiap waktu, adik itu ingin saya kelek. Di waktu makan, di waktu main, diwaktu tidur, di waktu mandi sahaja tidak :)

Oh, sesungguhnya sejarah itu akan tetap menjadi kerinduan yang tiada titik penghujungnya.

Sekarang, adik-adik pun sudah menginjak usia menjangkau kematangan.Dan dalam sedar tak sedar, saya sebenarnya telah banyak belajar tentang kehidupan dari karenah adik-adik. 

Hikmah Tuhan anugerahkan saya punya adik-adik yang ramai. Kata orang, bicara kanak-kanak itu teguran 'direct' dari Allah buat kita, kaum dewasa.

Teringat saya akan suatu kisah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sewaktu beliau dilantik menjadi khalifah, ramai pembesar dari seluruh tanah Arab datang memberikan sokongan, termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Kanak-kanak itu pun ke hadapan untuk menyatakan sokongan, namun dihalang oleh khalifah, seraya berkata,

"Beri yang tua bercakap dahulu."

Kanak-kanak itu lalu berkata,

"Manusia di dunia ini diukur dengan 2 perkara, iaitu otak yang kuat ingatannya dan lidah yang petah berkata-kata. Sekiranya ada 2 perkara ini pada seseorang itu, maka dia layak untuk bersuara. Seandainya manusia diukur pada umurnya, maka tuan tidak layak menyandang jawatan khalifah, kerana ada yang lebih layak dari tuan."

Jawapan kanak-kanak itu telah mengharukan hati khalifah Umar Abdul Aziz.

Sungguh! Bicara kanak-kanak itu suatu yang suci kerana ia lahir dari hati yang tulus.

No comments:

Post a Comment