Sing A Song

Sunday, February 12, 2012

Bisikan Malam






Bila ku didatangi malam

Gelora perasaan mencengkam jiwa

Masihkah ada lagi

Dayaku menghindar dari kealpaan

Diterjah berbagai soalan

Dihujani air mata penyesalan

Bisakah terhapus semua

Segala dosa, noda yang bertakhta

Tuhan,

Terangi jalan hidupku

Dengan cahaya kasih-Mu

Pimpinlah daku dengan hidayah-Mu

Tuhan,

Di malam syahdu ku merayu

Ampunilah segala dosaku yang lalu

Sujudku mendambakan keredhaan-Mu

Tempatkan daku dalam rahmat-Mu

Tuhan,

Usah Kau biarkan diriku

Hanyut terleka di jiwa dunia membelenggu

Dan aku sesungguhnya pasrah kepada-Mu

Hidup matiku hanyalah untuk-Mu

Ya Allah,

Tunjukkan jalan kebenaran

Suburkan jiwaku dengan keimanan

Hanya pada-Mu ya Tuhan

Kusandarkan harapan

credit by : unknown

Friday, February 10, 2012

Taqwa Seorang Anak

Saya pernah mendengar dari seorang penceramah di radio IKIM.fm, katanya,

"Kadang-kadang hidayah itu sampai kepada anak sebagai asbab teguran Allah buat ibu bapa."

Beliau juga berkongsi cerita berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang akan menduduki UPSR.

Suatu hari, dia berjumpa dengan seorang ustazah di sekolahnya, meminta agar didoakan supaya Allah memberi kejayaan dalam peperiksaannya. Ustazah tersebut sekadar menjawab,

"Insya-Allah ustazah doakan,".

Kemudian dia mengulang lagi permintaanya agar didoakan kejayaan baginya dalam UPSR. Ustazah tersebut hanya mengiyakan dan menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga berkali-kali diulang permintaan itu kepada si ustazah, dan jawapannya tetap sama. Kemudian murid itu bertanya,

"Ustazah tahukah nama saya? Bagaimana ustazah hendak mendoakan saya kalau ustazah tidak tahu nama saya?"

Dengan kehairanan, si ustazah bertanya,

"Mengapa kamu bersungguh sangat meminta ustazah mendoakan kamu?"

"Kerana saya ingin cemerlang dan menuntut hadiah dari ibu saya. Ibu berjanji akan tunaikan apa sahaja permintaan saya kalau saya mendapat 5A dalam UPSR."

"Apa yang kamu hendak minta sebagai hadiah dari ibu kamu seandainya kamu berjaya?"

"Saya hendak minta ibu saya pakai tudung,"

Serta-merta mengalir air mata si ustazah tanpa tertahan dengan harapan tulus seorang anak kecil. Ketika itu juga bertanyakan nama si anak dan terus menadah tangan mendoakan kejayaan si anak.

Begitu tinggi harapan seorang anak. Allah lebih dahulu memberikan hidayah buat anak itu sebelum sampai kepada si ibu. Begitu sekali dia mengharap kebaikan buat si ibu. Kita? Apa yang selalu kita harapkan dari ibu? Hanya suka meminta-minta. Minta pula perkara yang tidak berfaedah.


Kita : Mama, bagi la saya keluar shopping dengan kawan-kawan. Bukan selalu pun. Tengok ni dah macam doh kembang dah badan saya sebab tak berjalan.

Ibu : Dari kamu pergi berjalan tak tentu arah, lebih baik kamu tolong mama uli tepung ni ha!

Atau mungkin,

Kita : Ibu, saya nak beli baju baru. Baju saya sudah busuk.

Ibu : Mana tidaknya. Sudah seminggu kamu tidak mandi.

Atau lagi,

Kita : Mak, saya nak pergi kedai kopi, lepak dengan kawan-kawan, macam biasa.

Ibu : Hah baguslah! Muka kamu tu pun mak tengok dah legam macam kopi.

Apa kata mulai sekarang kita ubah. Minta pula untuk pergi halaqah, atau keluar berdakwah. Dalam hati ibu,

'Bagusnya anak aku ni. Dah boleh hantar pergi Palestin ni. Ada semangat juang yang tinggi,'

Ha.. bukankah bagus kalau begitu? Bahagia mereka dengan permintaan kita. Bukannya gelisah setiap kali kita meminta.

Satu perkongsian dari slot pengisian seorang pelajar UTP, dalam ceramahnya, tiba-tiba dia bertanya kepada hadirin,

"Bagaimana cara kamu membahagiakan kedua orang tuamu?".

Lantas, ada yang menjawab,

"Dengan cara berbakti pada mereka."

"Bagaimana caranya berbakti pada mereka?"

Seorang peserta menjawab,

"Tidak mengiring mereka ke neraka,"

Ya, jawapan itu sebenarnya yang kita mahu. Ada orang mengatakan dengan cara mendoakan mereka, menolong melakukan kerja rumah, dan sebagainya. Tetapi itu belum cukup. Tugas utama anak sebenarnya ialah menyelamatkan ibu bapa kita dari api neraka. Pengisi itu berkata lagi,

"Kalau kamu rasa hendak muliakan kedua ibu bapamu, muliakan mereka dengan ketaqwaanmu,"


Dalam surah 49:13 Allah berfirman yang bermaksud,

'Wahai manusia! Sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Mahateliti.'


Justeru, mari sama-sama kita berusaha membahagiakan kedua ibu bapa kita dengan ketaqwaan kita. Dengan itu, insya-Allah kita dapat memuliakan mereka, di dunia jua di akhirat, insya-Allah.

Permata ayah bonda

Di suatu tengahari yang panas terik ..

"Ibu, Aisyah nak main dengan Wiyah kat luar," sudah menjadi kebiasaan Aisyah akan meminta kebenaran pada ibu terlebih dahulu. Ibu sudah mengajarnya begitu. Kata ibu, andai terjadi apa-apa sekurang-kurangnya ibu tahu di mana mahu mencarinya.

"Sekarang tak boleh. Tengahari lagi. Belum petang. Nanti petang ya," ibu menjawab dengan jawapan yang mestinya mengecewakan bagi seorang anak kecil yang baru berusia enam tahun.

"Alaa, boleh la ibu," dia berusaha juga memujuk ibu agar membenarkannya bermain di luar rumah.

"Tak boleh. Tak nampak ke cuaca panas tu? Lagipun belum asar lagi. Baru pukul tiga." ibu menjelaskan dengan nada yang sedikit geram.

"Alaaaa. Aisyah main kat depan rumah je. Boleh la, boleh la" rengek Aisyah. Tangisannya sudah kedengaran.

"Pergilah! Pergi! Pergi!! Tak perlu cakap apa-apa dengan ibu." ibu memarahinya.

Dengan perasaan yang sedikit tersinggung, Aisyah mengesat air mata. Dia mencapai tudung dan mengenakannya, terus melangkah ke luar rumah. Di halaman, Wiyah sudah sedia menanti. Mereka bermain permainan yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Sedang asyik bermain, tiba-tiba..

"Aisyah! Masuk rumah!" Luqman, abangnya menjerit memarahinya dari depan pintu rumah. Aisyah terkejut.

"Eh, Wiyah nanti petang main lagi la," kata Aisyah sambil melangkah lemah masuk ke dalam rumah.

"Lain kali kalau belum asar jangan main kat luar," Luqman memarahinya.

Aisyah masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur. Di dapur, dia melihat ibu sedang membasuh pinggan mangkuk di sinki. Aisyah berlari lantas memeluk pinggang ibu dari belakang.

"Oh, Aisyah. Kenapa ni?" soal ibu.

Tanpa menjawab soalan ibu, "Ibu, kalau Aisyah sudah besar, sudah kahwin, dan sudah dapat anak nanti, Aisyah nak baik-baik dengan anak Aisyah,"

"Hah? Kenapa Aisyah cakap macam tu?" tanya ibu dengan sedikit kehairanan.

"Ya lah. Aisyah tak nak garang-garang dengan anak Aisyah macam ibu garang dengan Aisyah tadi."

Ibu tersentak. Tiada kata yang terluah.

Dalam hati, ibu beristighfar. Menginsafi diri yang kadang terlanjur memarahi dan tidak sabar dalam menangani karenah anak-anak.

Nilaian seorang insan berhati suci. Bicara seorang anak kecil selalunya bercakap tentang apa yang dia rasa. Terkadang, teguran Allah itu bukannya 'direct' terus pada kita. Salah satunya melalui perantara semacam itu.

Berlapang dada, dan terima sebaiknya sebagai satu daripada nilai tarbiyyah dari Allah.


Thursday, February 9, 2012

Aku Dan Impianku (1)

'Cita-cita saya hendak menjadi Doktor Pakar Pembedahan.'

'Kalau jadi Guru pun bagus juga. Mendidik anak bangsa.'

'Saya hendak menjadi Saintislah. Lebih kelihatan hebat.'

'Tetapi kalau menjadi Pakar Motivasi kelihatan lebih enak.'

Itulah sebahagian dari angan-anganku sewaktu kecil. Aku selalu menyebut-nyebut tentang perkara itu pada ibu. Kuceritakan pada ibu angan-angan yang telah aku susun aturkan dan apa yang harus aku lakukan untuk mencapai impianku itu.

"Hmm, yalah. Buatlah apa yang Nadia rasa baik, untuk diri Nadia dan untuk agama," respon ibu selalu begitu setiap kali aku bercerita berkenaan ini. Hanya mengiyakan. Walaupun aku rasakan seperti ibu malas hendak melayan ceritaku, tetapi aku tetap tidak jemu menyebut-nyebut tentang segala impianku.

'Ah, tidak mengapa. Kata- kataku ini akan menjadi suatu doa yang akan direalisasikan suatu hari nanti. Aku yakin itu.'

Aku mengimbau kembali zaman kecilku yang penuh dengan cita-cita dan harapan. Kenangan lalu, yang telah berlalu mungkin 10 tahun yang lalu. Tidak semena aku menjadi sedih.



"Nadia, doakan akak tau. Hari ini akak pergi temuduga," kak Ed, rakan sekelasku, merangkap teman bicara dan gelak tawaku sewaktu di Akademi Bakeri dahulu, menghubungiku pagi itu ketika aku sedang sibuk membantu ibu menguruskan adik-adik bersiap ke sekolah.

"Oh ya? Wah terujanya! Insya-Allah saya doakan, andai itu yang terbaik," teruja betul aku dengan perkhabaran itu.

"Awak bagaimana? Bila mula kerja?" kak Ed mengajukan soalan yang sebenarnya cukup sensitif bagiku.

Aku terdiam. Rasa sebak mula menerjah memenuhi ruang dadaku.

"Hmm, tak tahu lagi. Tengoklah nanti macam mana," jawabku dengan nada yang cukup lemah.

"Tidak mengapa. Mungkin ada yang terbaik untuk awak. Sabar sahajalah," kak Ed berusaha untuk memujukku walaupun aku rasa dia tentu sedar kata-katanya tidak memberikan apa-apa kesan pada jiwaku. Aku tetap merasa kesedihan yang berpanjangan.

Talian diputuskan setelah salam berbalas.

Aku kembali merenung ke dalam diriku. Apa yang aku cari sebenarnya? Aku pun tidak pasti. Tetapi yang kutahu, sekarang ini aku merasakan suatu kesedihan yang sukar terubat.

"Kakak sudah daftarkan permohonan untuk Nadia masuk ke UITM," kata kakak pada suatu hari.

"Oh, terima kasih. Kos apa?"

"Akaun dan bidang berkaitan sainslah. Itu yang Nadia minat. Tengok la mana yang dapat. Kenapa?"

"Tidak apa-apa. Saja tanya."

Kakakku yang seorang ini. Bersungguh benar mahu aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Apalah yang dirancangnya untuk masa depanku. Sedang aku sendiri tidak mengerti tentang diriku, atau mungkin berbelah bahagi pada permintaan ibu..

~bersambung~