Sing A Song

Friday, February 10, 2012

Permata ayah bonda

Di suatu tengahari yang panas terik ..

"Ibu, Aisyah nak main dengan Wiyah kat luar," sudah menjadi kebiasaan Aisyah akan meminta kebenaran pada ibu terlebih dahulu. Ibu sudah mengajarnya begitu. Kata ibu, andai terjadi apa-apa sekurang-kurangnya ibu tahu di mana mahu mencarinya.

"Sekarang tak boleh. Tengahari lagi. Belum petang. Nanti petang ya," ibu menjawab dengan jawapan yang mestinya mengecewakan bagi seorang anak kecil yang baru berusia enam tahun.

"Alaa, boleh la ibu," dia berusaha juga memujuk ibu agar membenarkannya bermain di luar rumah.

"Tak boleh. Tak nampak ke cuaca panas tu? Lagipun belum asar lagi. Baru pukul tiga." ibu menjelaskan dengan nada yang sedikit geram.

"Alaaaa. Aisyah main kat depan rumah je. Boleh la, boleh la" rengek Aisyah. Tangisannya sudah kedengaran.

"Pergilah! Pergi! Pergi!! Tak perlu cakap apa-apa dengan ibu." ibu memarahinya.

Dengan perasaan yang sedikit tersinggung, Aisyah mengesat air mata. Dia mencapai tudung dan mengenakannya, terus melangkah ke luar rumah. Di halaman, Wiyah sudah sedia menanti. Mereka bermain permainan yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Sedang asyik bermain, tiba-tiba..

"Aisyah! Masuk rumah!" Luqman, abangnya menjerit memarahinya dari depan pintu rumah. Aisyah terkejut.

"Eh, Wiyah nanti petang main lagi la," kata Aisyah sambil melangkah lemah masuk ke dalam rumah.

"Lain kali kalau belum asar jangan main kat luar," Luqman memarahinya.

Aisyah masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur. Di dapur, dia melihat ibu sedang membasuh pinggan mangkuk di sinki. Aisyah berlari lantas memeluk pinggang ibu dari belakang.

"Oh, Aisyah. Kenapa ni?" soal ibu.

Tanpa menjawab soalan ibu, "Ibu, kalau Aisyah sudah besar, sudah kahwin, dan sudah dapat anak nanti, Aisyah nak baik-baik dengan anak Aisyah,"

"Hah? Kenapa Aisyah cakap macam tu?" tanya ibu dengan sedikit kehairanan.

"Ya lah. Aisyah tak nak garang-garang dengan anak Aisyah macam ibu garang dengan Aisyah tadi."

Ibu tersentak. Tiada kata yang terluah.

Dalam hati, ibu beristighfar. Menginsafi diri yang kadang terlanjur memarahi dan tidak sabar dalam menangani karenah anak-anak.

Nilaian seorang insan berhati suci. Bicara seorang anak kecil selalunya bercakap tentang apa yang dia rasa. Terkadang, teguran Allah itu bukannya 'direct' terus pada kita. Salah satunya melalui perantara semacam itu.

Berlapang dada, dan terima sebaiknya sebagai satu daripada nilai tarbiyyah dari Allah.


2 comments:

  1. Syukran akak! atas peringatan sebelum menjejaki alam rumah tangga yang sudah pasti mmpunyai banyak cabaran dan dugaan terutamanya dalam mendidik anak2 =)semoga ALLAH merahmati..insyaALLAH~

    ReplyDelete
    Replies
    1. afwan =) ya insyaAllah . moga5 kite kawen dulu dari awak ... hehe
      dan lagi satu sebelum terlupa .. jangan piat telinga anak c0z yg tu un bg effect psik0 jgk ..ank uh b0le jd degil .. sekian :)

      Delete