MELAWAT
WAD PSIKIATRI
Saya
tidak tahu mengapa saya perlu untuk terlalu merasa minat pada bidang berkaitan
psikologi. Hasrat saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Takdir
Allah tersusun cantik, saya tidak (mungkin juga belum) berpeluang menjadi
seperti impian saya itu.
Oleh
kerana minat tersebut juga, suatu hari saya minta dibawakan ke wad psikiatrik.
Alang-alang sudah berada di USM, inilah masanya. Andai saya melepaskan peluang
ini, bila lagi saya diberi peluang kedua.
Pagi-pagi
lagi saya sudah bersiap. Kak Ayu (kawan kakak yang sudah saya anggap seperti
kakak saya juga) memberikan saya kot doktor berwarna putih.
“Dalam
wad tu, tak boleh sembarangan orang yang masuk. Pakai kot ni, berlagak sikit
macam doktor,” dia menerangkan, semacam tahu persoalan dalam minda saya.
Sampai
di pintu wad yang berpagar,
“Pergi!
Pergi! Berambusmu nate sia*!”
Berderau
darah saya. Kehadiran kami disambut kata makian. Saya kaget. Teragak-agak mahu
meneruskan langkah.
“Masuk
sahaja. Jangan pedulikan. Dia memang selalu macam tu. Mengamuk tak tentu fasal,
menyanyi bersendirian kadang,” terang seorang jururawat wanita yang menjaga
pintu.
Saya
lihat di katil hadapan, betul-betul menghadap pintu masuk, seorang wanita
diikat kedua belah tangannya, rambutnya serabai mengerbang, wajahnya bersolek
tebal umpama ‘opera comot’. Dia meronta-ronta sambil menjerit maki hamun.
Kakinya menendang-nendang angin.
‘Kasihan,’
desis hati saya. Dalam hati tertanya-tanya apa sejarah hidupnya sehingga dia
jadi begitu.
“Dengar cerita,
dia jadi macam tu sebab suami dia dera dia. Lebih dia tak dapat terima sebab
suami dia ceraikan dia,” beritahu seorang jururawat.
‘Begitu
sekali?’
Pentingnya
kekuatan iman dan rasa redha dengan ujian. Jika tidak, beginilah jadinya.
Kami
‘meneruskan perjalanan’ sehingga sampai di pertengahan wad. Ada beberapa meja
dan kerusi disusun di tengah-tengah ruangan berhadapan kaunter.
Di
satu meja, ada seorang wanita bertudung, sedang memegang mushaf al-Quran. Baru
selesai mengaji barangkali. Wajahnya ala-ala kacukan arab. Cantik!
Namun,
saya terkejut bila diberitahu bahawa dia salah seorang pesakit yang ditahan. Mulanya, saya kira dia hanya pelawat, atau mungkin menjaga ahli keluarga yang
ditahan di situ.
Kami
bersalaman dengannya dan menerangkan tujuan kedatangan untuk menemubual. Dia
mempersilakan kami duduk di kerusi bertentangan, sementara dia pergi menyimpan
al-Quran.
Seolah
sudah menghafal perenggan, dia memperkenalkan dirinya satu persatu, bermula
dari nama, asal, sehingga ke episod terdamparnya dia di situ, dengan jelas dan
laju sekali.
Seorang
yang peramah saya kira, rupanya baru hari yang ke 49 dalam pantang melahirkan
anak keempat. Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, juga isteri kepada
seorang warga Pakistan.
Menyingkap
kehidupannya, dahulu seorang pelajar cemerlang di sekolah dan tersenarai dalam
kumpulan pelajar ‘straight A’. Ketika berada di tingkatan 2 sebuah sekolah
berasrama penuh, pelbagai konflik yang berlaku dalam hidupnya, sehingga doktor
mengesahkan bahawa dia penghidap scizofrenia.
Masuk
kali itu, sudah 24 kali dia ditahan di wad. Bila ditanya jangka dia akan
keluar, dia mula bercerita dengan emosi yang sangat marah (terkesan dari gaya
cerita yang sengaja ditekan dan mata yang mencerlung tajam),
“Sebenarnya
petang semalam saya sudah dibenarkan keluar, tetapi disebabkan cikgu ***** yang
$*&@ tu cari gaduh dengan saya, saya terpaksa berada dalam ni lagi hari
ini. Saya memang sangat pendendam. Jangan ada yang cari fasal dengan saya,
memang saya tidak akan maafkan sampai mati!”
Seorang
wanita berbadan sedikit gempal yang sedang makan di meja belakang kami
tiba-tiba bangun, mengamuk sambil membaling apa sahaja yang berada
berhampirannya.
Suasana
jadi kecoh dengan kata makian yang bersahut, dan jururawat yang berusaha
menenangkan pesakit itu.
Setelah
dijelaskan, baru saya faham. Cikgu yang dimaksudkan ialah wanita yang berbadan
gempal itu. Patutlah dia tiba-tiba mengamuk.
Situasi
tersebut amat menakutkan saya. Saya merasakan muka saya pucat tanpa darah tika
itu. Sesi temubual kami berhenti sampai di situ sahaja.
“Nak
jalan lagi? Temubual pesakit lain pula,” tanya kak Ayu. Saya cepat
menggeleng.
‘Entah apa lagi akan berlaku selepas ini.’
Pengalaman
tersebut cukup membuatkan saya fobia sehingga sekarang. Dan memangnya saya sangat
tidak boleh melihat situasi pergaduhan. Saya rasa seperti sakit jiwa jadinya. Mungkin juga sedikit sebanyak kerana impak dari sejarah hidup yang kurang manis, yang tak perlu saya ceritakan di sini, biar jadi rahsia antara saya dan Dia. Kerna semua insan akan pernah merasa pahit manis sebuah kehidupan. Hanya iman penyelamat akidah.
Kesimpulannya yang dapat saya ambil ibrah dari tragedi itu ialah,
Allah memberi bukan apa yang kita inginkan, seperti keinginan saya untuk berada
di bidang itu, tetapi Allah beri mengikut apa yang kita perlu dan mampu.
“..Boleh
jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu padahal ia tidak baik bagimu. Sungguh, Allah mengetahui sedang
kamu tidak mengetahui.” [2:216]
No comments:
Post a Comment