Sing A Song

Wednesday, October 3, 2012

Lau kaana bainana...

Bismillahirrahmaanirrahim...


Pagi itu, selepas menolong ibu menyiapkan adik-adik ke sekolah, dan setelas adik-adik ke sekolah, ibu memanggilku masuk ke dalam bilik. Hanya aku dan ibu. Wajah ibu serius. Hatiku mula berdebar.

'Ini mesti berkenaan hal petang semalam,' desis hatiku.

______________________________________________________


"Ibu, ibu tau tak ada cerita seorang perempuan zaman Rasulullah dulu yang datang menawarkan diri untuk jadi isteri Rasulullah?" aku menyoal ibu, punya maksud tersirat.

"Pernah dengar juga tapi tak tau sangat. Kenapa?"

"Perempuan tu datang tawarkan diri, tapi dikutuk para sahabat kata perempuan tu tak malu. Waktu tu Rasulullah tegur para sahabat kata, bahkan perempuan tu mulia."

"Oh, tak tau pula ceritanya macam tu. Kenapa tiba-tiba Awin cerita ni?"

"Hmmm..." aku menarik nafas panjang, cuba untuk tenangkan diri, membaca basmallah seperti yang disarankannya, kemudian mula bersuara.

"Awin ada berkenan dengan seorang lelaki ni."

"Lepas tu?" ibu macam terkejut. Mungkin tak menyangka anaknya yang seorang ini sudah sampai masa untuk merasa erti cinta.

"Awin cakap kat dia yang Awin nak risik dia."

Aku kemudian menceritakan dari permulaan awal aku mengenali lelaki itu, add dia di facebook, intip segalanya, baca semua komen-komen di statusnya, analisis dia, dan mulakan langkah pertama dengan menghantar mesej bertanya, jawapannya padaku, saranannya supaya aku lakukan istikharah, mimpi aku selepas istikharah, serba sedikit yang aku tahu tentangnya, semua aku ceritakan pada ibu.

"Dah sebulan juga la Awin kenal dia. Dia tak ada la bagi jawapan apa-apa, tapi dia sarankan Awin terus terang dengan ibu, minta pendapat. Biar telus, katanya."

Aku menanti respon ibu. Tiba-tiba ibu ketawa.

'Huh! Lega.." ingatkan ibu nak marah. Maklum sahaja, sebelum ini ibu agak bertegas melarang aku berkawan dengan lelaki.

______________________________________________________


Wajah ibu masih lagi serius. Ibu minta aku duduk di kerusi bertentangan dengan kerusi ibu. Dalam debar, aku menurut. Tiba-tiba ibu tersenyum.

"Terima kasih." kata ibu.

"Hah?" aku terpinga-pinga.

"Terima kasih sebab tolong ibu hari ini."

"Oh. Ya, sama-sama." aku baru faham maksud ibu, kemudian tersengih, malu.

"Ibu dah bincang semuanya dengan abah berkenaan hal petang semalam." ibu kemudian memulakan perbualan yang lebih serius.

"Okey sekarang ibu nak Awin ketepikan dulu semua perasaan, jawab soalan ibu ini." ibu bersuara dengan lemah lembut.

"Laukaana bainana... seandainya Rasulullah ada bersama kita pada zaman ni, agak-agak Awin la, Rasulullah redha tak cara yang Awin buat ini?" tanya ibu, lembut sekali, bicara dari hati ke hati.

Aku diam. Membisu. Hanya tunduk memandang lantai. Tidak tahu jawapan apa yang harus kuberi. Akalku mula terbayang. Hatiku jadi sayu tak semena.

"Sebelum ini ibu ada juga cakap dengan abah, minta carikan, tapi abah macam tak serius."

"Ya, salah satu sebab Awin rasa nak cari sendiri tu sebab tengok abah tak serius la. Doa dah doa. Usahanya?" sampukku lemah.

"Ya, tapi sekarang abah dah ambil serius perkara ini lepas ibu cerita pada abah. Mungkin memang dah sampai masanya juga."

Ibu kemudian menasihati aku. Perbincangan pagi itu agak panjang. Macam-macam yang ibu cerita. Pengalaman ibu, risiko hari mendatang, saranan, semuanya serba sedikit penerangan. Sampai satu part,

"Sekarang ini banyak kes orang kena tipu melalui perkenalan macam ini la. Okey la, ibu bukan nak buruk sangka, tapi ini waspada. Andai kata lelaki itu memang jujur sekalipun, kita tak tahu lagi imannya macam mana.

Ibu cakap ni sebagai langkah persediaan. Nanti apa-apa hal berlaku di kemudian hari, anak ibu yang sakit, ibu juga yang susah hati.

Alam rumah tangga ini banyak cabarannya. Mula-mula ini boleh la kita kata tak ada apa-apa, insyaAllah okey sahaja semuanya, tapi kita tak tau masa akan datang macam mana lagi.

Ibu nak tanya Awin, andai kata satu hari nanti tiba-tiba bergaduh, ada kemungkinan tak yang dia akan ungkit, "Dulu kau yang cari aku, bukan aku nak sangat pun.", ada kemungkinan tak benda tu berlaku?"

Aku mengangguk lemah.

"Lagi satu, bila sekarang Awin berani berhubung dengan dia, ada kemungkinan tak yang satu hari nanti dia akan fikir yang Awin berani juga berhubung dengan lelaki lain pula? Walaupun yang sebenarnya Awin memang tak berkawan dengan lelaki, hanya dia seorang, sebab dia bukan tau pun yang Awin memang tak berkawan dengan lelaki. Ada kemungkinan tak perkara tu akan berlaku?"

Aku mengangguk lagi, lemah.

"Okey, Alhamdulillah. Ibu tau Awin tetap akan dengar cakap ibu walau tak suka sekalipun. Selama ini ibu tak bagi Awin berkawan dengan lelaki pun salah satu sebabnya nak mengelak dari berlaku perkara-perkara semacam ini la. Memanglah pada dasarnya, pergaulan tu hukumnya harus.

Sebelum ini Awin tak nampak lagi ya, apa yang ibu minta Awin buat, Awin ikutkan saja tapi separuh hati, dalam keadaan tak faham dan tertanya-tanya. Sekarang insyaAllah ibu yakin Awin dah dapat faham, bukan?

Awin beruntung ada ibu, boleh cerita semua benda. Ibu dulu tak ada tempat nak cerita. Menanggung sendiri semuanya. Sudahlah kahwin dengan abah tak pernah kenal. Tak tahu pun orang kahwin tu macam mana.

Bila dah kahwin, datang ujian itu, ujian ini, sampai terdetik di hati, 'Macam inikah orang kahwin?'

Tapi dari situ, ibu belajar sendiri. Awin beruntung, ada ibu boleh beri nasihat, tunjur ajar, dedahkan serba sedikit tentang semua ini.Ibu berdoa Awin jadi anak yang solehah, isteri yang solehah, ibu yang solehah.

Sekarang ibu nak, Awin hentikan berhubung dengan lelaki tu. Tak manis macam tu. Soal ni nanti biar ibu dan abah sahaja yang uruskan. Tak usah risau la, kalau ada jodoh, tak ke mana.

Dalam apa-apa hal pun, kita nak cari berkat kan? Ikut sunnah. Dengar cakap ibu. Soal ni urusan orang tua. Bila Awin berhubungan sendiri macam tu, takut hilang berkatnya di situ. Biar dia tahu, Awin pun ada harga diri, tak mudah-mudah nak dapat. Okey?"

"Ya, insyaAllah." aku menjawab lemah.

Sebagai langkah permulaan mengikut saranan ibu, aku memberikan handphone ku kepada ibu. Biar ibu yang pegang. Biar aku tak dapat online lagi. Biar aku tak berhubung dengannya lagi. Tahankah aku? Sampai bila?

'Ya Allah, kuatkan aku dengan kekuatanMu.'

_____________________________________________________

Malam pertama, aku gelisah. Mundar-mandir, dari ruang tamu ke dapur, ke bilik, kembali ke ruang tamu semula.

Jam baru menunjukkan pukul 9.45 malam. Kebiasaan sekarang aku sedang 'memerhatikannya', mengikut setiap perkembangannya, memantau setiap aktivitinya, meski tanpa jejak, dan tanpa disedari.

Tetapi disebabkan handphone ku dipegang oleh ibu, aku tak upaya lakukan apa-apa. Aku cuba mencari helah.

"Ibu, Awin nak handphone. Nak tidur dah ni, nak guna alarm Takut tak terbangun nanti."

"Guna handphone ibu saja. Ada kat bilik tu tengah cas. Ambillah." kata ibu.

'Oh, nampaknya aku tiada alasan lagi.'

Malam itu, aku sukar sekali melelapkan mata. Pusing kanan, pusing kiri, tak juga tidur. Aku tak tahu bila masa aku tertidur. Sedar-sedar, jam menunujukkan pukul 3.30 pagi. Aku bangun.

Di pagi yang kelam, dengan cahaya bulan yang suram, aku tenggelam dalam sendu, munajat padaNya. Lama sujudku, penuh harap...

"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan hatiku ini mencintai makhlukmu lebih dari cintaku kepadaMu. Tuhan, sesungguhnya aku tak berdaya menolak cinta ini dari terus membenggu jiwaku. Maka, Engkau pandulah hatiku untuk mencintainya hanya keranaMu..."


Sumber: Unknown

2 comments:

  1. Replies
    1. :) ini cerita benar seorang hamba Allah. nama samaran sahaja, tak mahu dedah identitinya. bagi siapa yang kenal, kenal la, sape yang tak kenal, buat-buat kenal saja hehe ...

      Delete