'Cita-cita saya hendak menjadi Doktor Pakar Pembedahan.'
'Kalau jadi Guru pun bagus juga. Mendidik anak bangsa.'
'Saya hendak menjadi Saintislah. Lebih kelihatan hebat.'
'Tetapi kalau menjadi Pakar Motivasi kelihatan lebih enak.'
Itulah sebahagian dari angan-anganku sewaktu kecil. Aku selalu menyebut-nyebut tentang perkara itu pada ibu. Kuceritakan pada ibu angan-angan yang telah aku susun aturkan dan apa yang harus aku lakukan untuk mencapai impianku itu.
"Hmm, yalah. Buatlah apa yang Nadia rasa baik, untuk diri Nadia dan untuk agama," respon ibu selalu begitu setiap kali aku bercerita berkenaan ini. Hanya mengiyakan. Walaupun aku rasakan seperti ibu malas hendak melayan ceritaku, tetapi aku tetap tidak jemu menyebut-nyebut tentang segala impianku.
'Ah, tidak mengapa. Kata- kataku ini akan menjadi suatu doa yang akan direalisasikan suatu hari nanti. Aku yakin itu.'
Aku mengimbau kembali zaman kecilku yang penuh dengan cita-cita dan harapan. Kenangan lalu, yang telah berlalu mungkin 10 tahun yang lalu. Tidak semena aku menjadi sedih.
"Nadia, doakan akak tau. Hari ini akak pergi temuduga," kak Ed, rakan sekelasku, merangkap teman bicara dan gelak tawaku sewaktu di Akademi Bakeri dahulu, menghubungiku pagi itu ketika aku sedang sibuk membantu ibu menguruskan adik-adik bersiap ke sekolah.
"Oh ya? Wah terujanya! Insya-Allah saya doakan, andai itu yang terbaik," teruja betul aku dengan perkhabaran itu.
"Awak bagaimana? Bila mula kerja?" kak Ed mengajukan soalan yang sebenarnya cukup sensitif bagiku.
Aku terdiam. Rasa sebak mula menerjah memenuhi ruang dadaku.
"Hmm, tak tahu lagi. Tengoklah nanti macam mana," jawabku dengan nada yang cukup lemah.
"Tidak mengapa. Mungkin ada yang terbaik untuk awak. Sabar sahajalah," kak Ed berusaha untuk memujukku walaupun aku rasa dia tentu sedar kata-katanya tidak memberikan apa-apa kesan pada jiwaku. Aku tetap merasa kesedihan yang berpanjangan.
Talian diputuskan setelah salam berbalas.
Aku kembali merenung ke dalam diriku. Apa yang aku cari sebenarnya? Aku pun tidak pasti. Tetapi yang kutahu, sekarang ini aku merasakan suatu kesedihan yang sukar terubat.
"Kakak sudah daftarkan permohonan untuk Nadia masuk ke UITM," kata kakak pada suatu hari.
"Oh, terima kasih. Kos apa?"
"Akaun dan bidang berkaitan sainslah. Itu yang Nadia minat. Tengok la mana yang dapat. Kenapa?"
"Tidak apa-apa. Saja tanya."
Kakakku yang seorang ini. Bersungguh benar mahu aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Apalah yang dirancangnya untuk masa depanku. Sedang aku sendiri tidak mengerti tentang diriku, atau mungkin berbelah bahagi pada permintaan ibu..
~bersambung~

"ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين"
ReplyDeleteinsyaALLAH,apa yang telah ditetapkan Allah untuk kak nadia adalah yang terbaik utk akk =)
semoga akk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi..uhibbukifillah ya ukhti nadia <3
hehe citer x habis lg .. insyaAllah happy ending :)
ReplyDelete