Sing A Song

Tuesday, April 16, 2013

Cikgu Saya Non-Muslim

Bismillahirrahmanirrahim...




Sewaktu di tingkatan tiga, saya ada seorang guru non-Muslim yang mengajar Bahasa Inggeris. Kami memanggilnya Sir William. Bagi saya, beliau merupakan seorang guru India yang sangat bagus.

Walaupun beliau bukan beragama Islam, saya boleh mengkategorikan Sir William sebagai antara golongan manusia yang ikhlas dalam kehidupannya.

Beliau sanggup datang mengajar kami, anak-anak Muslim, di sekolah agama Islam, walaupun imbuhan yang diterimanya tidak seberapa berbanding sekiranya beliau mengajar di sekolah-sekolah luar yang lain, atau  di sekolah agama Hindu.

Sir William sangat suka bercerita. Setiap kali kelas kami bersamanya, beliau akan bercerita dengan penuh semangat membuatkan satu kelas akan hingar-bingar dengan suara kami ketawa.

Saya adalah antara pelajar yang paling semangat ketawa dengan kelucuan Sir, walaupun tidaklah begitu faham dengan cerita Bahasa Inggerisnya itu.

Dalam ramai- ramai rakan sekelas, ada segelintir rakan-rakan yang agak nakal sering mengajuk intonasi dan gaya Sir William. Selepas itu mereka akan ketawa sesama mereka. Saya perasan Sir kurang senang dengan kelakuan mereka, tetapi beliau tidak begitu mempedulikannya.

Saya sangat berdoa supaya Sir tidak tersinggung dengan perlakuan mereka itu, dan menganggap kami sebagai anak-anak muridnya yang masih keanakan yang sedang meningkat usia kematangan.

Beliau pernah membawakan pada kami satu makanan tradisi orang India yang dibuat sendiri oleh isterinya. Katanya, itu Coconut Candy. Bentuknya bulat, dan ada pelbagai warna. Hijau, kuning, dan merah.

Mulanya kami teragak-agak juga untuk makan, tetapi beliau meyakinkan kami bahawa ia seratus peratus halal, kerana beliau sudah pastikan alatan dan cara penyediaannya tiada unsur-unsur yang meragukan. 

Sedap! Tetapi saya segan untuk meminta lagi padanya. Beliau berjanji suatu hari nanti beliau akan membawakan kami Ladu pula, juga sejenis makanan tradisi kaum India yang berasaskan gula (mungkin). Tetapi janjinya itu tidak sempat dikotakan.

Suatu hari, Sir memberitahu pada kami bahawa minggu hadapan merupakan kelas terakhir kami bersama beliau, kerana beliau akan ke Australia atas beberapa urusan tertentu. Ada perasaan sedih di hati kami dengan pemergian Sir.

Sebagai hadiah perpisahan buat Sir William, kami mereka satu hiasan menggunakan paket-paket minuman Vico yang disusun dan dilekat menjadi sebuah bakul yang sederhana besar. Ia juga sebagai tanda permohonan maaf kami pada Sir William.


Seorang lagi guru non-Muslim yang saya kagumi. Beliau merupakan guru matapelajaran Sejarah saya sejak di tingkatan tiga hingga tingkatan lima.

Saya kira, jarang ada seseorang yang berbangsa Cina yang sanggup bersusah payah untuk selain dari kaum mereka sendiri. Berlainan sekali dengan Sir Neoh.

Sir Neoh sanggup berhenti dari mengajar di sekolah kerajaan, yang gajinya lebih lumayan, semata-mata kerana ingin mengajar kami, anak-anak Muslim. Beliau mengaku mengalami sedikit kesukaran dalam mendidik kami, tetapi katanya, itulah kebahagiaannya.

Beliau gembira mengajar kami, walaupun tahap kenakalan kami yang kadang kala sehingga di luar kawalan kesabarannya, tetapi itulah cabaran baginya.

Beliau juga sering meluahkan kerisauannya berkenaan prestasi subjek Sejarah kami yang merudum dengan teruknya. Majoriti kami gagal dalam subjek berkenaan pada peperiksaan-peperiksaan akhir kami yang hampir menjelang ke tarikh SPM.

Kadang-kadang saya melihat riak wajah Sir Neoh seperti hendak menangis bila menasihati kami supaya lebih bersungguh-sungguh dalam berusaha kerana peperiksaan SPM sudah semakin hampir. Namun, rata-rata kami hanya mengambil nasihat itu sekali lalu sahaja, tidak terkecuali juga saya, walaupun kadang kala ada rasa bersalah menyelubungi hati.

Bila hari keputusan SPM dikeluarkan, saya lihat wajah Sir Neoh tersenyum gembira, seolah-olah berpuas hati dengan keputusan yang kami perolehi. Mungkin tidak menyangka yang rata-rata kami mendapat keputusan yang baik dalam subjek Sejarah. Kata beliau,

"Kamu semua sengaja beri kejutan pada sayakah?" sambil tersenyum riang, menampakkan barisan giginya yang putih itu.

Kelas terakhir kami bersamanya sewaktu di tingkatan lima, beliau mengirim kad ucapan 'Selamat' sempena peperiksaan SPM kami.

Dalam banyak-banyak kata-kata nasihat yang diberikan di dalam kad ucapan tersebut, ada satu ayat yang sehingga kini masih lagi terkesan di jiwa saya.

Katanya, "Semoga menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa."

'Sir, in shaa Allah saya akan ingat nasihat Sir itu sampai saya mati'.


Lagi seorang guru non-Muslim saya, cikgu Reevathi, yang mengajar subjek Sains sewaktu saya di tingkatan lima. Mungkin disebabkan beliau merupakan guru perempuan, jadi kami agak rapat dengannya. Kami sering berkongsi cerita dan bertukar-tukar pemikiran.

Cikgu Reevathi selalu juga bercerita berkenaan agamanya, Budha, yang mengamalkan amalan begitu begini. Beliau juga sering bertanya berkenaan agama Islam kepada kami. Beliau kelihatan berminat dengan Islam.

Kami pernah bertanya kepadanya, mengapa beliau memilih untuk mengajar di sekolah kami. Katanya, kerana sekolah kami unik. Beliau sering merasakan ketenangan bila berada di sekolah itu.

Setiap pagi Sabtu, kami wajib menghadiri kelas Talaqqi di Musollah sekolah bersama Syeikh Sa'id, seorang syeikh Arab yang berasal dari Mekah. Jujurnya, saya sangat suka menghadiri kelas Talaqqi beliau. Mungkin kerana slang Arabnya yang pekat, dan Bahasa Melayunya yang agak pelat.

Cikgu Reevathi pernah meluahkan keinginannya pada kami, untuk bersama-sama berada dalam kelas itu, tetapi dia takut keberadaannya akan mengganggu kami, yang pada pemikirannya, ia merupakan majlis Ibadat kami, dan beliau harus menghormatinya. 

Saya berasa sedikit terkilan kerana luahannya itu adalah ketika kelas terakhirnya bersama kami, dan selepas itu kami tidak lagi bertemu dengannya. Dan semestinya terlepas peluang kami untuk megajaknya bersama-sama ke kelas tersebut. Namun, saya berharap beliau dapat merealisasikan keinginan beliau itu walaupun setelah ketiadaan kami.

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah buat ketiga-tiga guru saya ini. Amin ya Allah...

-nadiazack-

2 comments:

  1. hampir terlupa pada mereka.Mujur ada yg mengingatkan :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama-sama berdoa agar mereka dikurniakan hidayah dan taufiq oleh Allah :)

      Delete